PUTRAJAYA – Lebih 30,000 pemohon melibatkan kategori individu, petani dan pekebun kecil komoditi telah diluluskan untuk menerima bantuan subsidi tunai di bawah inisiatif Budi Madani pada 10 Jun ini.
Kementerian Kewangan berkata, penerima akan disalurkan bantuan tunai pertama berjumlah RM200 melalui akaun bank penerima.
Katanya, bagi penerima tanpa akaun bank boleh membuat tuntutan secara tunai dengan membawa MyKad di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh Semenanjung Malaysia.
“Pemohon yang berkelayakan masih boleh mendaftar untuk menerima Budi Madani. Permohonan yang dibuat dalam bulan Jun 2024 layak menerima bayaran untuk bulan tersebut dan bulan seterusnya.
“Permohonan yang dibuat selepas bulan Jun 2024 hanya layak menerima bayaran yang bermula pada bulan Julai 2024 dan tidak akan mendapat bayaran untuk bulan Jun 2024,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Untuk rekod, Budi Madani ialah usaha kerajaan untuk memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan layak di mana ia terbahagi kepada bantuan individu (BUDI Individu), petani serta pekebun kecil (BUDI Agri-Komoditi) selain syarikat dan kenderaan pengangkutan (MySubsidi Diesel).
Di bawah Belanjawan 2024, kerajaan komited untuk menyasarkan semula subsidi bahan api bagi mengekang aktiviti penyeludupan, penyelewengan dan ketirisan subsidi rakyat. – KOSMO! ONLINE














