fbpx
GAMBAR HIASAN

Pilih hidup bujang bukan sebab tak laku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Perbincangan mengenai hal perkahwinan dalam konteks masa kini pastinya mengundang pelbagai pendapat serta pandangan.

Ada yang memilih untuk berkahwin, namun ada juga yang berpendirian mahu mencapai usia tua sebagai individu bujang.

Antara faktor utama orang bujang mengelak memikul tanggungjawab sebagai suami atau isteri kerana mereka enggan mempunyai komitmen dalam menguruskan rumah tangga selain tidak mahu terbeban dengan kewangan membina sebuah keluarga.

Pakar Motivasi dan Kaunseling Rumah Tangga, Hushim Salleh berkata, pada zaman mencabar ini, ramai yang membuat keputusan untuk hidup bujang berikutan trauma melihat keluarga dan rakan terdekat gagal dalam perkahwinan.

Selain itu, faktor peribadi atau ekonomi juga antara punca memilih hidup tanpa pasangan.

“Situasi itu menyebabkan segelintir anak muda takut mimpi ngeri yang berlaku kepada rakan dan keluarga berlaku kepada mereka yang akhirnya rela bujang.

“Ramai sahaja yang datang ke sesi kaunseling mengakui sendiri mereka selesa hidup bujang. Tidak ada tekanan daripada pasangan, tidak terdedah dengan masalah rumah tangga selain mahu fokus untuk bantu keluarga,” katanya.

Terdahulu, laporan SeaAsia Stats merekodkan Malaysia di tempat ketiga dalam kalangan negara Asia Tenggara dengan 44.68 peratus penduduknya individu bujang.
Individu bujang adalah mereka yang belum berkahwin, bercerai atau balu.

Statistik itu meletakkan Malaysia di belakang Filipina di tempat pertama dengan 49 peratus daripada populasinya berstatus bujang, diikuti Brunei dengan 44.9 peratus.

Kemboja, Myanmar dan Thailand berada di tempat keempat hingga keenam dengan 44.6 peratus, 29 peratus serta 23 peratus.

Menurut laporan itu, daripada tahun 1970 hingga 2021, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengumpulkan data perkahwinan lebih 1.6 bilion individu bujang di seluruh dunia menerusi divisyen populasi yang dilakukan.

Faktor individu bujang meningkat termasuk pandangan tentang perkahwinan, ekonomi serta pertambahan keperluan sosial.

Dalam konteks masyarakat, ramai menganggap orang bujang adalah individu tidak laku apabila usia 25 tahun, masih tiada pasangan.

Namun, bagi penulis, pendedahan terhadap kemanisan berumah tangga oleh kerajaan belum cukup drastik untuk menyedarkan golongan ‘takut kahwin’ itu.

Ini kerana, mereka sering disajikan dengan kisah tragis perkahwinan yang berakhir dengan perceraian sehingga menimbulkan rasa trauma untuk hidup berpasangan.

Sebelum ini, Jabatan Perangkaan mendedahkan kadar perceraian meningkat daripada 43,936 kes pada 2021 kepada 62,890 kes pada 2022.

Ia merupakan peningkatan sehingga 43.1 peratus dan kadar tertinggi yang direkodkan sejak tahun 2016.

Kosmo! sebelum ini pernah mendedahkan hasil tinjauan dilakukan mendapati ramai orang bujang berusia 35 tahun ke bawah mengakui selesa hidup bersendirian ketika ini berikutan sudah mempunyai kerjaya selain kehidupan stabil, sekali gus mampu berdikari walaupun tidak berkahwin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN