fbpx
Majid (gambar kecil) memaklumkan isu keciciran sekolah anak-anak Orang Asli masih tinggi dan berlarutan.

Pendidikan Orang Asli masih di takuk lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BENTONG – Keciciran sekolah dalam kalangan Orang Asli bagai tidak berkesudahan apabila isu yang membelenggu masyarakat tersebut masih belum dapat di­selesaikan secara tuntas dan menyeluruh.

Presiden Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM), Majid Suhut berkata, isu keciciran itu lebih ketara di kawasan pedalaman iaitu dianggarkan kira-kira 40 peratus berbanding di pinggir bandar lebih 20 peratus.

“Pelbagai faktor menyebabkan masalah ini seperti pengangkutan, sekolah jauh dari tempat tinggal, masalah jalan yang teruk, kemiskinan dan faktor lain.

“Walaupun disediakan pe­ngangkutan tetapi keadaan jalan yang teruk di pedalaman de­ngan menggunakan jalan balak menyebabkan jalan dapat dilalui dalam tempoh tertentu sahaja,” katanya di sini baru-baru ini.

Difahamkan, ketika ini terdapat kira-kira 40,000 murid dan pelajar di seluruh negara daripada lebih 200,000 masyarakat Orang Asli di negara ini.

Katanya, meskipun terdapat asrama disediakan, namun keciciran masih berlaku kerana terdapat pelajar yang tidak mahu tinggal di asrama.

“Mereka yang tidak mahu tinggal di asrama khususnya murid sekolah rendah, termasuk kea­daan jalan ke rumah mereka yang teruk, ada yang apabila pulang masa cuti tidak mahu lagi kembali ke sekolah,” katanya.

Katanya, keadaan kehidupan masyarakat Orang Asli yang berdepan dengan kos sara hidup meningkat juga mendorong berlakunya keciciran tersebut.

“Terdapat anak-anak Orang Asli yang terpaksa ‘ponteng’ sekolah demi untuk bekerja bagi membantu keluarga khususnya di kawasan pinggir bandar.

“Dulu mereka boleh bergantung kepada hasil hutan tetapi kini hasil hutan sudah habis akibat pembangunan dan pe­nebangan hutan menyebabkan anak-anak terpaksa membantu ibu bapa mencari wang,” katanya.

Katanya, keciciran pelajaran anak Orang Asli lebih tinggi di sekolah menengah kerana mereka ada perasaan rendah diri bergaul dengan Melayu, Cina atau India.

“Antara faktor murid Orang Asli berhenti sekolah adalah ke­rana mereka sangat sensitif di­ejek dan dipinggir rakan hanya kerana anak Orang Asli.

“Saya sendiri pernah alami ­situasi sama tetapi kekuatan sema­ngat dan dorongan guru dan ibu bapa, saya dapat hadapinya dan berjaya ke universiti,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN