PETALING JAYA – Kegilaan orang ramai khususnya golongan muda terhadap makanan manis dan ‘viral’ membuatkan mereka tidak sedar bahawa sudah menghidap penyakit tidak berjangkit seperti diabetes pada usia belasan tahun lagi.
Ada di antara penggemar makanan manis ini sanggup beratur panjang dan menunggu lama, malah turut menempah pencuci mulut bersaiz gergasi demi memenuhi selera masing-masing.
Bagaimanapun, di sebalik kemanisan, hakikatnya terdapat ‘kepahitan’ menanti mereka sekali gus masa depan bertukar kelam.
Seorang lelaki penghidap diabetes ingin dikenali sebagai Loy, 29, berkata, dia menyesal akibat terlampau ketagih dengan minuman manis sejak di bangku sekolah rendah apabila disahkan menghidap penyakit tersebut seawal usia 16 tahun.
Ujar bekas pemandu lori itu, dalam sehari sekurang-kurangnya dia akan mengambil tiga botol besar air manis serta makanan sampingan lain yang tinggi kandungan gula bagi memberi tenaga dan mengurangkan rasa ketagihnya.
“Saya memang kuat minum dan makan manis. Tak kira asal namanya air manis, saya akan ‘bedal’. Boleh diibaratkan air manis itu macam air kosong bagi saya. Tak kira waktu lepak ke atau kerja mesti saya akan minum, lagi-lagi air gas (berkarbonat) sebab kalau tak dapat, badan saya jadi lemah semacam.
“Bukan air manis saja, makanan ringan seperti jeruk-jeruk dalam peket atau gula-gula, semua makanan manis-manis saya kerap dan tegar ambil. Sampailah umur saya 16 tahun, demam saya tak sembuh-sembuh. Lepas masuk hospital, doktor kata saya kena apendiks, masa tengah pembedahan baru saya tahu saya hidap diabetes tahap satu.
“Sejak itu, saya mengalami kesukaran untuk bekerja sebab bergantung kepada insulin setiap masa. Bila bekerja akan cepat rasa ‘hypo’. Badan jadi lemah, gula akan ‘auto dropped’. Sekarang saya memang kawal kadar pengambilan gula, sehari dalam dua cawan air manis je,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Lebih menyedihkan, pada Jun 2023, dunia Loy bertukar ‘gelap’ apabila luka di kaki kanannya memburuk dalam tempoh jangka masa yang lama sehingga terpaksa dibedah dan diamputasi akibat jangkitan kuman.
“Masa doktor beritahu kena potong, saya memang tak sangkalah sampai tahap itu. Lepas doktor beritahu kuman tersebut dikhuatiri naik ke otak dan paru-paru, saya pun buat keputusan untuk tanda tangan surat setuju untuk pembedahan,” katanya.
Sejak pergerakan terbatas, anak sulung daripada empat beradik ini tidak mampu bekerja dan akhirnya berhenti sebelum menetap bersama keluarga di Raub, Pahang sehingga sekarang.
Katanya, dia bersyukur apabila menerima bantuan kaki palsu dari sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memudahkannya berulang-alik ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan.
“Pesanan saya lagi-lagi buat golongan muda, kalau mahu ambil makanan atau minuman manis itu boleh, tapi berpada-padalah. Bukan sahaja diabetes, doktor pun beritahu pankreas saya tidak boleh berfungsi sebab organ itu sudah sangat lemah,” luahnya.
Seorang lagi penghidap kencing manis yang ingin dikenali sebagai Lan, 55, berkata, dia insaf menjalani kehidupan tidak sihat pada waktu muda sehingga menyebabkan dirinya terpaksa merana di usia senja.
Dia yang berasal dari Kuantan, Pahang berkata, rutin harian gemar minum teh tarik dan air tin setiap hari mengakibatkan diri ‘dihinggap’ diabetes ketika berusia 25 tahun.
“Kaki kanan saya baru-baru ini perlu dipotong. Jangan ikut tabiat saya apabila ‘wajib’ minum teh ais tidak kira pagi, petang, siang atau malam. Pukul 3 pagi ketika melepak makan, mesti ada teh ais. Air tin pun banyak minum juga, makan tidak tentu masa.
“Paling ketara selepas usia 45 tahun ini apabila kesihatan makin merosot, satu-satu penyakit datang yang akhirnya membuatkan saya tersedar,” katanya.
Katanya, akibat terlalu mengikut ‘selera tekak’ usia muda sampailah satu hari kaki terpijak paku dan mula berlubang dan mereput.
“Doktor kata kaki dah tak boleh selamatkan lagi sebab diabetes yang serius. Saya rela sebab tidak mahu jangkitan kuman makin merebak, jadi kaki dipotong pada Ogos 2022,” katanya.
Berkongsi kisah yang sama, Mani Kumaran, 62, berkata, kehidupannya juga turut berubah 360 darjah apabila kaki kirinya terpaksa diamputasi pada Februari 2023.
Ujar bapa kepada dua anak itu, dia tidak menyangka bermula daripada ibu jarinya berair biasa akibat digigit serangga, jangkitan kuman akhirnya melarat sehingga ke betis mengakibatkan tiada harapan untuk anggota badannya itu pulih sepenuhnya. -KOSMO! ONLINE














