PERNAH beberapa kali tular dalam media sosial memperlihatkan ‘keakrabannya’ bersama kumpulan gajah liar membuatkan insan ini mula dikenali.
Apa yang menarik, insan tersebut adalah seorang wanita yang kebiasaannya merupakan golongan yang jarang terlibat dengan haiwan liar secara dekat.
Pun begitu, pemilik nama Nik Aidil Marina Nik Sapeia membuktikan golongan Hawa sepertinya juga miliki keberanian dan mampu mengendalikan haiwan liar terutama gajah.
Kisah Nik Marina bersama dua gajah denak (gajah penarik) popular iaitu Abot dan Pek yang bersungguh-sungguh menarik perhatian gajah liar lain dalam operasi translokasi (pindah gajah) pernah berbekas di hati ramai.
Begitu juga video Nik Marina memandikan seekor gajah denak dengan penuh belaian kasih sayang sebelum menyuapnya makan tembikai yang menyentuh hati ramai sehingga mendapat lebih 345,000 likes di TikTok.
Berkongsi kepada Aura tentang titik tolak minat dan penglibatannya bersama haiwan liar, wanita kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini mengakui ia berlaku secara tidak disengajakan.
“Saya minat dengan hidupan liar secara tidak sengaja apabila suami ditugaskan sebagai Ketua Jajahan Jeli (Pejabat Tanah dan Jajahan Jeli) pada awal tahun 2018. Sepanjang suami saya bertugas di sana, saya banyak terlibat aktiviti bersama suami dalam membantu masyarakat dan komuniti di sana.
“Minat saya dengan hidupan liar seperti gajah tercetus apabila pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di jajahan Jeli memaklumkan kepada suami bahawa terdapat gajah liar memasuki ladang orang kampung.
“Pegawai Perhilitan itu memohon kerjasama suami dalam operasi pindah gajah liar. Sebagai seorang suami yang mengenali minat ekstem isterinya, lantas dia mengajak saya melihat sendiri operasi.
“Saya tanpa menolak ajakan suami terus setuju dan teruja untuk mengikutnya melihat operasi tersebut,” katanya teruja.

Akui Nik Marina, 48, pada mulanya dia memang takut dan seram melihat gajah yang begitu besar selain dikenali dengan sifat garangnya dan bila-bila masa boleh naik minyak.
“Saya bersyukur diberi peluang oleh pegawai Perhilitan untuk mendekati gajah denak. Pegawai Perhilitan banyak menceritakan kepada saya bagaimana operasi pindah gajah ini berjalan dan kenapa gajah liar selalu masuk kampung.
“Mereka juga berkongsi kepada saya peranan gajah denak dalam operasi pindah gajah liar,” kata suri rumah itu.
Melihat kepada minatnya dan kemesraannya bersama gajah, wanita ini telah dilantik sebagai ‘penaung gajah’ bagi daerah Jeli oleh suaminya, Nik Raisnan Daud sebelum menjadi penaung gajah bagi daerah Gua Musang setelah suaminya kini memimpin jajahan tersebut sebagai Yang Dipertua Majlis Daerah Gua Musang.
Bertindak sebagai sukarelawan atau pihak perantaraan yang membantu melancarkan proses pemindahan gajah, kelibat Nik Marina sering kali menyerlah dalam mendekati gajah-gajah denak itu ketika operasi dipenuhi para lelaki.
Sesekali dia mengusap-usap tubuh dan belalai gajah tersebut, memegang telinganya serta si haiwan akur menuntun pergerakannya.
Menjadi kelaziman untuk dirinya memandikan gajah denak dan memberinya makan usai operasi.
Jelas ibu kepada sepasang cahaya mata itu, Abot dan Pek merupakan pasangan gajah denak pertama dikenalinya dan sejak itu wujud perasaan sayang dan hatinya berasa tenang bila bersama gajah-gajah itu.
Ditanya mengenai penglibatannya dalam perkara didominasi kaum Adam, Nik Marina bersetuju dan jarang sekali melihat golongan wanita terlibat secara langsung. Katanya, kebanyakan wanita biasanya terlibat dalam bahagian operasi yang tidak melibatkan kerja-kerja bahaya serta berisiko.

Berkongsi mengenai bagaimana keakraban bersama gajah tercipta, Nik Marina memberitahu setiap haiwan ini juga mempunyai perasaan sama seperti manusia.
Katanya, gajah ada perasaan marah, cemburu, perlukan kasih sayang dan proses mengenali gajah-gajah ini perlu dipelajari dari semasa ke semasa serta mengambil masa untuk gajah ini mengenali seseorang manusia.
“Gajah juga mempunyai ingatan dan deria bau yang amat tajam dan membuatkan ia tahu serta kenal antara kawan dan musuh.
“Cara saya mula-mula ingin mendekati dan mengenali gajah-gajah ini adalah dengan mengetahui dan belajar perangai serta sifat setiap daripadanya.
“Macam manusia, gajah juga ada perangai masing-masing. Ada gajah tidak suka budak, ada kuat merajuk, ada masa makan tidak boleh diganggu dan ada gajah yang suka menari dan periang.
“Kalau gajah sudah kenal dan rapat dengan orang itu, ‘dia’ akan ingat dan balas dengan baik juga.
“Selepas mengenali perangai gajah-gajah denak, saya mula beri ‘mereka’ makan. Saya akan beri makan gajah dengan menyuap sendiri ke mulut supaya hubungan kami lebih erat.
“Bila dah semakin rapat dan selesa, saya mula mandikan gajah-gajah denak serta bergurau dengannya. Jujur saya katakan, bila sudah lama kenal dengan gajah-gajah denak ini, saya sayang dan anggap ‘mereka’ macam anak-anak sendiri,” tuturnya.
Menurutnya, pengalaman dan pengetahuan dalam memahami sifat, tingkah laku dan bahasa gajah adalah amat penting bagi seorang mahout (penjaga gajah).
“Gajah-gajah ini mempunyai perangai dan kelebihan yang di luar jangkaan. Antaranya ia mempunyai perasaan melindungi antara satu sama lain. Ia juga ada perasaan bergurau dengan manusia.
“Pernah saya dijentik dengan belalai kerana lambat menghulurkan makanan dan ada masa sama juga ia cemburu kerana lambat menjenguk dan memberi makan,” katanya.
Akui Nik Marina, segala posting (hantaran) yang dimuat naik dalam media sosial adalah bertujuan memberitahu orang awam mengenai kewujudan gajah denak dan fungsinya.
Pada masa sama, dia juga mahu orang awam sedar tentang kepentingan menjaga habitat haiwan liar yang semakin terancam dan apa yang menyebabkan gajah-gajah ini menceroboh masuk kawasan kampung atau tanaman penduduk.
Memberi pendapat, kes gajah-gajah liar mencerobohi kawasan tanaman atau perumahan biasanya kerana haiwan itu mencari apa-apa makanan yang boleh dimakan.
“Ini terjadi disebabkan kawasan rayau makanan hidupan ini semakin sempit akibat pembukaan tanah hutan dan kerja kerja pembalakan yang berlaku.
“Jadi, normal kalau gajah gajah ini selalu masuk kampung dan kawasan tanaman. Ini berlaku kerana perbuatan manusia juga,” katanya tegas.
Menutup bicara, Nik Marina menasihatkan mana-mana wanita yang mempunyai minat dan keberanian bekerja dan terlibat bersama haiwan liar, teruskan niat tersebut dan senantiasa berhati-hati dalam setiap tugasan.
Besar harapan Nik Marina juga untuk diperkenalkan sambutan kempen hari pelindungan hidupan liar peringkat kebangsaan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat untuk melindungi hidupan liar di negara ini.














