RAMAI orang impikan berat badan ideal terutama wanita yang mahu kelihatan langsing yang menjadi dambaan kebanyakan lelaki.
Mereka bimbang jika terlampau gemuk, suami akan malu dan mencari wanita lain yang lebih menawan.
Banyak kes penceraian antara lain berpunca daripada isteri gemuk. Sebelum berkahwin badan kurus, tetapi selepas melahirkan anak, tubuh mula menjadi ‘bulat’.
Isteri gemuk juga sering dijadikan alasan buat si suami untuk berlaku curang.
Berbeza di benua Afrika, wanita gemuk bukan sahaja dilihat cantik, malah menjadi pilihan dan idaman setiap kaum lelaki yang ingin mendirikan rumah tangga.
Wanita gemuk di negara itu menjadi simbol kesejahteraan, kesihatan dan kemakmuran selain menggambarkan wanita tersebut telah bersedia untuk mendirikan rumah tangga.
Tetapi itu di benua Afrika, bukan di Malaysia. Hanya segelintir yang bangga memiliki isteri gemuk. Disebabkan itu, ramai kaum wanita di negara kita mencari jalan untuk menguruskan badan apabila merasakan badan mereka terlebih kilogram (kg).
Malah ada antara mereka sanggup menahan diri daripada makan minum selain mengambil segala macam ubat kurus semata-mata untuk mendapatkan tubuh idaman.
Bagi mereka yang berduit, penyelesaian alternatif melalui pembedahan bariatrik yang menjadi kegilaan ramai iaitu mengecilkan perut atau memintas sebahagian daripada usus kecil.
Hidup sebagai manusia obesiti ini sememangnya susah, sengsara dan banyak kesan buruk serta risiko yang terpaksa dihadapi.
Dari segi kesihatan, obesiti adalah titik permulaan kepada segala jenis penyakit berbahaya seperti diabetes, sakit jantung, darah tinggi, kanser dan banyak lagi yang boleh membawa maut.
Di Mexico, seorang lelaki bernama Manuel Uribe yang berat badannya 587kg terpaksa menghabiskan masa selama 14 tahun di atas katil khas.
Dia juga terpaksa bergantung kepada ibu serta rakan-rakannya untuk memberinya makanan dan apabila dibawa ke hospital perlu diangkat menggunakan kren.
Berat badan Uribe turut tercatat dalam rekod Guinness World Records untuk lelaki paling gemuk di dunia pada 2007. Uribe akhirnya mati pada usia 48 tahun akibat degupan jantung tidak teratur.
Di negara ini juga banyak kisah individu gemuk yang terpaksa dibawa ke hospital dengan bantuan bomba menaiki lori. Betapa sukarnya proses untuk memindahkan pesakit gara-gara berat badan berlebihan.
Mereka yang gemuk juga sering berdepan tekanan mental dan diskriminasi sosial serta pekerjaan. Sebahagian besar masyarakat memandang negatif terhadap orang gemuk.
Ada majikan pula enggan mengambil pekerja baharu yang obes. Ini akan menyebabkan mereka bertambah kemurungan dan berdepan tekanan.
Gemuk adalah masalah global termasuk Malaysia. Lebih separuh daripada rakyat dewasa di negara ini gemuk apabila 12.8 juta daripada 23.6 juta orang dewasa mengalami berat badan berlebihan setakat tahun lalu.
Kini terserah kepada kita untuk menentukan sama ada mahu hidup sengsara dalam kegemukan atau hidup sihat dengan mengamalkan diet pemakanan seimbang dan aktif beriadah. -KOSMO! ONLINE














