SAAT tulisan ini dilunaskan, dunia dikejutkan dengan untaian insiden yang menghentak realiti bahawa, kehidupan ini sememangnya ibarat telur di hujung tanduk.
Pertama, dunia dikejutkan dengan kematian Presiden Iran, Ebrahim Raisi termasuk Menteri Luar Iran, Hossein Amirabdollahian yang disahkan maut selepas helikopter dinaiki mereka terhempas di kawasan berbukit berhampiran sempadan Azerbaijan.
Kedua, syarikat penerbangan kebanggaan Singapura, Singapore Airlines (SIA), berdepan cabaran tergetir mereka apabila seorang penumpang maut dan dan lebih 30 lain cedera ekoran penerbangan mengalami keadaan gelora udara (turbulent) kuat.
Tiada siapa mampu meramal atau menjangka kematian kerana itu adalah kerja Tuhan. Dalam pada kita berkira-kira tentang kematian orang-orang besar, perlu diingatkan di Palestin, lebih 35,000 orang sudah terbunuh disebabkan kekejaman Zionis Israel sejak 7 Oktober lalu.
“Saya bukan dari Israel atau Palestin. Saya bukan seorang ahli politik ataupun seorang pundit (golongan cerdik pandai) tetapi, saya seorang saksi.
“Melihat kesan peperangan, keganasan dan penindasan dan saya melawat ramai pelarian seluruh dunia, saya tidak lagi boleh berdiam diri.
“Konflik yang berlaku di Gaza dan Israel telah mengorbankan banyak nyawa tidak bersalah. Sebab itu, saya menyokong genjatan dilakukan demi keamanan sejagat,” ujar pelakon yang juga duta muhibah agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), Cate Blanchett dalam satu ucapan.
Tiada siapa di dunia ini yang mengimpikan riwayat hidup mereka berakhir dengan keganasan pengeboman ataupun kemalangan tidak dijangka berlaku di atas langit, namun berpeganglah dengan frasa atau ingatan berbunyi kun fayakun (jadilah, maka terjadilah ia).
Berbalik kepada kenyataan yang dinukilkan pada peranggan awal, tiada siapa menjangka Allahyarham Ebrahim Raisi meninggal dunia akibat kecelakaan atau nahas helikopter.
Sayup-sayup spekulasi bertebaran apa yang berlaku kepada beliau adalah bahana kelantangan pemimpin terhormat itu yang sebelum ini bertindak menurunkan arahan kepada Tehran melancarkan ratusan peluru berpandu dan dron ke atas Tel Aviv.
Dalam erti kata lain, ada yang berspekulasi kematian Ebrahim adalah berpunca daripada rancangan jahat dua sekutu Amerika Syarikat dan Israel sebagai respons apa yang dilaksanakan pemimpin Islam itu ketika hayatnya masih ada.
Sebagai seorang pengamal media dan juga manusia biasa, apa yang berlaku benar-benar menjentik sanubari bahawa kehidupan di dunia ini sememangnya sifatnya sementara.
Kalian orang berpangkat, tidak mungkin hayatnya 1,000 lamanya. Kalian menaiki syarikat penerbangan terbaik dan paling selamat dunia, kemungkinan nyawa itu berada di hujung tanduk itu, sentiasa ada.
Anda susuk bernama Benjamin Netanyahu yang suka melakukan kebobrokan dan kemudian berlagak seperti andalah mangsanya (sedangkan sudah terang lagi bersuluh siapa dalang peperangan), tidak mungkin anda hidup selama-lamanya.
Apa yang didambakan dunia sekarang adalah keamanan yang umpamanya mustahil untuk kedapatan. Kalau tidak peperangan itu masih menjalar di Palestin, ada kontinen atau negara lain yang masing sengsara seperti Sudan, Ukraine dan Haiti.
Agaknya, kalau tidak tangan manusia itu yang berhenti melakukan kehancuran sesama sendiri, mungkin sudah tiba waktu Dia yang di atas sana meletakkan keadilan agar manusia menyesali segala keburukan dilakukan yang tiada turning back (jalan undur). Wallahu a’lam bishawab.
















