fbpx
HARGA barangan mentah yang meningkat memaksa peniaga berhenti menjual Menu Rahmah di premis masing-masing. – GAMBAR HIASAN

Elak terus rugi, peniaga henti jualan Menu Rahmah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Seorang peniaga sebuah restoran di Bakar Arang, di sini terpaksa menghentikan Jualan Menu Rahmah (JMR) kerana mendakwa me­ngalami kerugian ekoran kenaikan harga bahan mentah di pasaran.

Menurut pemilik Mai Sembang Kitchen, Habsah Hamid, 57, dia hanya mampu menawarkan jualan menu itu selama dua bulan selepas pelancaran inisiatif JMR pada 31 Januari 2023.

“Dalam tempoh dua bulan selepas pelancaran JMR, perniagaan saya merosot mendadak kerana perlu keluarkan modal agak besar dan pada masa sama gagal memperoleh keuntungan.

“Selain itu, menu yang diarah disediakan dalam JMR itu juga kurang mendapat sambutan apabila pelanggan hanya datang untuk mencuba menu itu dan bukan menjadikannya sebagai juadah untuk diulang makan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Ujarnya, kenaikan harga barang mentah turut mempe­ngaruhi JMR yang dijual pada harga RM4.90 satu set sedangkan peniaga tidak pula diberi kelonggaran mendapatkan bahan mentah dengan harga murah.

“Kenaikan harga bahan mentah sepanjang masa membuatkan saya tiada pilihan, daripada terus menanggung rugi lebih baik ditamatkan JMR di kedai makan saya ini,” jelasnya.

Di Kota Bharu, peniaga gerai Mok Su Nah Air Asam, Maznah Ismail, 64, berkata, dia menjual nasi ayam dan mi celup pada harga Rahmah iaitu RM5 termasuk segelas air sirap sejak lebih setahun lalu.

Dia turut mengakui bahawa pengenalan Menu Rahmah itu sememangnya menarik minat pelanggan, tetapi ia sebenarnya membebankan peniaga.

“Harga bahan mentah ketika ini melonjak naik dan tidak sepadan dengan harga RM5 untuk sepinggan hidangan makanan. Saya akan menanggung kerugian jika teruskan Menu Rahmah.

“Saya awalnya berminat untuk memperkenalkan Menu Rahmah selepas dikhabarkan peniaga yang mengikuti inisiatif itu akan memperoleh bantuan kerajaan.

“Sebaliknya, tiada sebarang bantuan yang disalurkan kepada peniaga yang berdaftar dengan Menu Rahmah hingga hari ini. Jadi, lebih baik saya berhenti meneruskan inisiatif itu daripada terus menanggung kerugian,” katanya ketika ditemui di Medan Selera RTC Kelantan, Tunjong.

Ujarnya, meskipun Menu Rahmah dihentikan di premisnya, dia tetap menawarkan harga yang berpatutan iaitu RM6 untuk sepinggan nasi ayam.

“Saya bersedia untuk meneruskan Menu Rahmah sekiranya kerajaan memberi bantuan atau subsidi selepas ini. Langkah itu akan mengelakkan peniaga terus rugi selain dapat meneruskan inisiatif yang disarankan oleh kerajaan,” ujarnya.

Di Lembah Klang, Pengurus Restoran The Kampong Cili Padi, Mohd. Salleh Othman, 44, berkata, premisnya di Bandar Baru Bangi antara yang terawal menawarkan Menu Rahmah kira-kira setahun lalu sebelum dihentikan.

“Kita terpilih untuk melaksa­nakan Menu Rahmah, bahkan saya hadir ke majlis dihadiri Perdana Menteri bagi pemberian kad untuk peniaga yang menjual Menu Rahmah. Dikatakan kad ini boleh dapat diskaun jika berbelanja di pasar raya besar terpilih.

“Namun, ia indah khabar daripada rupa kerana bila kita nak gunakan kad itu, mereka (pekerja pasar raya) tak tahu pun. Tak boleh guna pun kad itu,” katanya.

Dakwanya, isu harga barang juga menyebabkan dia terpaksa menghentikan jualan Menu Rahmah kerana ia suatu cabaran kepada pemilik perniagaan.

“Di Bandar Baru Bangi, ramai pelanggan terutamanya pelajar kurang mampu selain pekerja-pekerja kilang. Jadi ia dapat sambutan. Saya menjual Menu Rahmah ini antaranya nasi goreng, bihun goreng, nasi ayam kunyit dan nasi bujang berharga RM5. Saiz makanan juga sama, tak pernah dikurangkan.

“Tapi sampai satu masa, kami terpaksa hentikan. Namun kita ada inisiatif sendiri bantu pe­langgan cuma tidak gunakan nama Menu Rahmah,” ujarnya.

Di Jerantut, Pengurus Restoran HM Curry House, Mubashir Arikka Thodi berkata, premis itu antara 15,000 premis menyediakan Menu Rahmah di negara ini tidak dapat diteruskan berikutan kenaikan harga barang mentah yang berterusan.

“Menu Rahmah menawarkan makanan siap masak pada harga harga RM5 dan ke bawah dan menu nasi putih berlauk seketul ayam goreng, sayur dan teh O ais hanya berharga RM5 berbanding harga sebenar sekarang meningkat RM10.

“Restoran HM Curry House tidak meneruskan survival perniagaan berikutan barangan mentah meningkat saban hari sebagaimana harga menu naik seratus peratus,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN