Contoh asid sulfurik pekat yang boleh dibeli di platform online pada harga serendah RM100.

Asid sulfurik mudah dibeli, harga serendah RM100

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Cecair berbahaya seperti asid sulfurik pekat boleh dibeli dengan mudah oleh sesiapa sahaja secara online dan dijual pada harga antara RM100 hingga RM200 mengikut isipadu.

Tinjauan Kosmo! di beberapa laman e-dagang mendapati, selain cecair itu, pelayar juga boleh membeli bahan berbahaya lain seperti cuka getah, asid nitrik dan natrium hidroksida dengan mudah tanpa perlu memberi maklumat peribadi kepada penjual.

Bagi asid sulfurik pekat yang digunakan ke atas pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim, ia dijual pada harga RM110 bagi bekas bersaiz dua liter dan RM220 bagi saiz lima liter.

Asid sulfurik mempunyai banyak kegunaan dalam industri yang berbeza seperti perlombongan, kerja logam, industri kimia dan petrokimia, kawalan pencemaran dan pembinaan.

Antara kegunaan asid sulfurik termasuklah untuk menghasilkan bahan letupan, asid lain, pewarna, gam, pengawet kayu dan bateri kereta.

Penganalisis Jenayah dan Pakar Kriminologi, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, pihak berkuasa perlu mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) bagi pembelian bahan-bahan bahaya seperti cecair asid supaya tidak disalahgunakan.

“Pembelian barangan berbahaya sepatutnya perlu didaf­tarkan. SOP pembeliannya perlu diteliti semula bagi mengelakkan ia disalahgunakan seperti apa yang berlaku kepada Faisal,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Menurut Shahul Hamid, perkara yang sama akan berlaku kepada orang lain jika SOP tidak diperketatkan.

Tambahnya, asid sulfurik pekat pernah digunakan dalam kes-kes jenayah lain sebelum ini yang mana ia mengakibatkan mangsa cacat seumur hidup.

“Berdasarkan kes-kes simbah asid yang pernah terjadi sebelum ini, perkara itu berlaku daripada pelbagai punca, seperti dendam, diupah orang dan sebagainya,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian yang me­nimpa pemain bola sepak tersebut dan memberi ruang kepada pihak polis menjalan siasatan.

“Orang ramai diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi, biarkan pihak polis jalankan siasatan dan mereka sendiri akan keluarkan kenyataan berhubung siasatan mereka.

“Selain itu, bagi orang awam yang mahu melakukan jenayah serupa, fikirlah apa kesannya kepada mangsa tersebut dan mungkin juga pihak berkuasa boleh menyemak semula hukuman-hukuman yang ada bagi kesalahan salah guna bahan seperti asid ini,” ujarnya.

Terdahulu, Faisal dilaporkan mengalami kecederaan lecur tahap empat di beberapa bahagian badannya selepas disimbah asid oleh dua individu tidak dikenali di hadapan sebuah pusat membeli-belah di Kota Damansara, di sini Ahad lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN