Gadis Pesona Ahad minggu ini begitu mengambil berat tentang kebajikan. Nurul Syuhadah Rashidi, 26, mengakui dia suka melibatkan diri dalam kerja amal.
Mesra disapa Syud, gadis yang berasal dari Manjung, Perak itu berkata, pengalaman melawat rumah anak yatim menjadi titik permulaan dia membantu insan yang memerlukan menerusi penubuhan Fund Raising by Syud.
Graduan Politeknik Merlimau, Melaka itu mahu mengajak orang muda memupuk sikap berkongsi rezeki dan tidak melupakan golongan asnaf.
Kepada Kosmo! Ahad, Syud berkongsi cerita mengenai dirinya dan perancangan masa depannya.
Kosmo! Ahad: Ceritakan tentang diri Syud
Syud: Saya merupakan anak sulung daripada empat beradik. Syud seorang introvert jika baru kenal seseorang. Watak saya sedikit kasar sebab ayah mahukan anak lelaki sebelum ini, jadi saya dididik seperti anak lelaki. Antara sebab lain kerana mahu jadi contoh kepada adik-adik.
Adakah sebab itu Syud pilih bidang kejuruteraan?
Saya pilih jurusan kejuruteraan mekanikal sebab selalu ikut ayah ke tempat kerja sebelum ini. Ayah saya bertugas Bahagian Kejuruteraan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Kenapa pilih modelling sebagai kerjaya?
Inilah yang dinamakan rezeki, Saya tidak pernah terfikir untuk terjun dalam bidang peragaan sebab ia menyimpang jauh dengan bidang kejuruteraan yang merupakan minat saya. Saya pernah berhasrat mahu membuka bengkel khas dan pekerjanya wanita bagi mengelak ditipu.
Sejak bila bergelar model?
Sejak 2022, alhamdulillah saya bekerja sepenuh masa sebagai model. Ikon fesyen saya ialah Cara Delevigne. Saya begitu meminatinya kerana dia unik.
Bagaimana pula dengan hobi Syud?
Saya suka melukis. Apabila dapat melukis terasa seperti hilang sekejap dari Bumi
Bagaimana pula penglibatan dalam kerja amal?
Saya tahu ramai yang hendak membantu orang susah dan anak yatim tetapi tidak tahu cara dan salurannya. Jadi saya bagi membuka peluang itu menerusi Fund Raising by Syud. Dahulu saya juga pernah berasa susah, duit tidak cukup. Satu hari saya tonton video dan melawat rumah anak yatim. Sejak itu saya sedar ada lagi insan yang lebih susah, tambahan pula mereka kehilangan ibu bapa, tetapi masih boleh tersenyum. Itu buat saya rasa tersentak dan bersyukur.
Cabaran dalam melakukan kerja amal?
Kekurangan dana, tetapi masih boleh membeli barangan yang mampu dimiliki. Kepada orang muda, sedekah tidak mengurangkan harta, malah akan digandakan. Walaupun susah, insya-Allah ada rezeki yang Tuhan beri. Yang penting niat kena betul.














