fbpx
Sebahagian penduduk yang membeli ikan siakap berharga 70 sen seekor di Kampung Batu Hampar, Manir, Kuala Terengganu semalam.

Lelong siakap 70 sen seekor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Seorang penjual ikan mengambil inisitif membantu orang ramai dengan menjual 4,000 ekor ikan siakap pada harga semurah 70 sen seekor di Kampung Batu Hampar, Manir di sini semalam.

Sabran Muzaffar Semlee, 28, berkata, ikan siakap bersaiz kira-kira 400 gram seekor itu dijual pada harga murah sebagai penghargaan terhadap pelanggan yang menyokong perniagaannya yang baru dibuka pada bulan Mac lalu.

“Saya menjual 4,000 ekor ikan siakap berharga 70 sen seekor ini secara berperingkat sepanjang hari bermula pukul 8 pagi agar pelanggan tidak perlu beratur panjang dan premis perniagaan juga tidak terlalu sesak.

“Setiap sesi setiap pelanggan hanya dibenarkan membeli tiga ekor agar lebih ramai dapat merasai ikan siakap murah ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di kedainya di Kampung Batu Hampar, Manir di sini semalam.

Sabran Muzaffar berkata, jualan ikan siakap murah itu juga merupakan sebahagian usaha­nya untuk membantu penduduk setempat menangani kos sara hidup tinggi pada masa ini.

Sementara itu, seorang suri rumah, Hanis Huda Abdul Hamid, 32, teruja dapat membeli ikan siakap pada harga murah walaupun hanya boleh membeli tiga ekor.

“Ikan jenis dan saiz sama di kedai dan pasar raya lain di seluruh Terengganu paling murah berharga hampir RM10 seekor.

“Alhamdulillah dengan modal hanya RM2.10, saya boleh menghidangkan lauk untuk kami sekeluarga untuk makan tengah hari ini,” katanya.

Seorang lagi pelanggan, Aziz Mamat, 60, memuji langkah diambil Sabran Muzaffar yang menjual ikan pada harga murah.

“Ia amat bermakna buat pengguna. Saya percaya keuntungan masih diperoleh oleh peniaga ini walaupun marginnya mungkin kecil,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN