fbpx
Berwarna Sonic Copper yang memikat, khalayak pasti akan terpesona melihat SUV berstatus premium ini.

RX350 direka ikut standard kemewahan tertinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEMANDU uji Lexus RX350 ibarat sedang membawa supercar kerana setiap lokasi yang dituju akan mendapat kerlingan orang ramai.

Mungkin kerana faktor rekaan badannya yang unik dan nampak sedikit futuristik di samping merupakan kenderaan utiliti sukan (SUV) dengan warna Sonic Copper.

Sejarah awal model RX (yang bermaksud Radiant Crossover) telah diperkenalkan pada tahun 1998 yang dibina daripada model Toyota Harrier.

Apabila Lexus mendapat idea tentang kenderaan yang boleh menggabungkan prestasi atas jalan dan salun mewah dengan fungsi SUV, maka lahirlah Lexus RX.

Kenderaan itu bukan sahaja mengubah segmen automotif apabila ia membuat kemunculan pada tahun 1998 tetapi juga menaikkan SUV kepada status premium.

Menawarkan fleksibiliti untuk pergi ke mana-mana setiap hari dan pengendalian setanding prestasi, kehalusan dan keselesaan ibarat sebuah sedan premium, Lexus RX berjaya mencipta nama dalam segmen SUV.

Sejak diperkenalkan, model ini dapat mengukuhkan ‘dirinya’ sebagai model terlaris dalam barisan Lexus.

Baru-baru ini penulis berpeluang untuk pandu uji Lexus RX350 yang telah dilancarkan pada tahun lalu.

Lexus RX generasi kelima ini bukan sahaja meneruskan legasi yang menjadikannya terkenal dalam ruang SUV tetapi juga menampilkan reka bentuk dan teknologi, sekali gus meningkatkan keupayaan model dan daya tarikan bagi pemandu moden.

Untuk model RX Lexus, Malaysia menawarkan dua varian iaitu RX350 Luxury yang penulis pandu uji dan RX500h F Sport yang diimport sepenuhnya.

Model pandu uji ini dilengkapi dengan enjin petrol 2.4 liter turbo dan transmisi Direct Shift lapan kelajuan automatik.

Kombinasi itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 275hp pada 6,000rpm dan tork tertinggi 430Nm pada 1,700 hingga 3,600rpm.

Atas kertas, kelajuan maksimum model ini boleh mencapai 200 kilometer sejam (km/j) dan mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j hanya dalam masa 7.6 saat.

SUV pacuan semua roda sepenuh masa (AWD) ini juga menawarkan empat mod pemanduan iaitu Normal, Eco, Sport dan Custom mengikut kesesuaian pemandu.

Lexus RX350 ini dibina daripada platform GA-K yang telah dipertingkat. Panjang model ini ialah 4,890 milimeter (mm), lebar (1,920 mm), tinggi (1,695 mm) dan jarak antara roda 2,850 mm).

Ruang dalaman di bahagian pemanduan yang tampak cukup berkelas.

Masuk ke ruang kabin, ekspresi memikat yang sama dibawa ke dalam kabin yang direka dengan teliti berasaskan konsep Tazuna. Ruang dan keselesaan juga dipertingkat dalam ruang penumpang yang telah direka mengikut standard kemewahan tertinggi.

Bagi mewujudkan hubungan sinergi antara manusia dan mesin, Lexus menggabungkan reka bentuk dipengaruhi Omotenashi dengan teknologi termaju.

Perhatian rapi telah diberikan kepada saiz, bentuk, susun atur dan maklumat suis dalam ruang kabin untuk mewujudkan kesepaduan ini.

Pereka Lexus bukan sahaja menumpukan kepada kedudukan dan bentuk optimum untuk operasi yang lancar tetapi juga kekerapan penggunaan setiap fungsi sebagai pertimbangan.

Butang stereng, sebagai contoh, sangat terintegrasi dengan paparan kepala untuk mewujudkan ruang di mana pemandu boleh menumpukan perhatian pada pemanduan.

Sistem infotainment terdiri daripada navigasi, audio dan pelbagai fungsi boleh dikawal tanpa memerlukan pergerakan mata tambahan atau operasi suis yang rumit. Skrin paparan bersaiz 14 inci boleh disesuaikan dengan banyak fungsi yang disepadukan ke dalam suis lembutnya.

Penulis juga difahamkan model ini turut hadir dengan Kawalan Bunyi Aktif (ANC) yang membantu mengurangkan bunyi bising dalam ruang kabin, memastikan keselesaan yang senyap dan halus untuk pemandu dan semua penumpang.

Kesimpulannya, penulis melihat SUV ini mungkin berjaya menjadi satu penanda aras dalam segmennya kerana berjaya menghimpunkan kemewahan, reka bentuk menarik (luar dan dalam), pemanduan yang mengujakan, kepercayaan dari sudut jenama dan harga yang setanding dengan nilai yang ditawarkan.

Sepanjang pandu uji model ini hampir tiada rungutan atau komen tidak seronok penulis tentang model ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN