fbpx
Talam menunjukkan ikan ketutu yang berjaya ditangkapnya di sebatang sungai di Segamat, Johor.

K2

Ikan ketutu, hodoh tetapi bernilai tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Di sebalik pelbagai gelaran sebagai ikan hantu atau ikan hodoh, nilai pasaran ikan ketutu ini tetap melambung dan tidak susut nilainya ibarat emas.

Ketutu atau nama saintifiknya Oxyeleotris marmorata adalah antara ikan air tawar hidup di kawasan cetek berhampiran tebing sungai, tasik dan lombong yang semakin sukar diperoleh.

Ikan ketutu atau haruan ubi yang meniti di bibir para pemancing dan penggemarnya boleh mencecah harga antara RM90 hingga RM120 seekor bagi ikan melebihi berat satu kilogram (kg) atau kebiasaannya antara RM80 hingga RM100 sekilogram.

Bagi Talam Hamid, 58, ikan ketutu yang tertangkap pada jaring bukan setakat habuan rezeki untuknya, namun menjadi buruan pengusaha restoran Cina yang sanggup menawarkan harga lebih tinggi.

“Agak sukar untuk mendapat ikan ketutu sekarang berbanding 15 tahun lalu kerana ia semakin pupus akibat kurangnya pembenihan di sungai.

“Jika ia tersangkut pada jaring, ia ibarat ‘bulan jatuh ke riba’ dan mampu membuat kami nelayan tersenyum lebar.

“Jaring memerangkap ikan ini hanya boleh dipasang ketika arus sungai menjadi tenang sedikit dan ada juga petua sebaiknya menghadap arah kiblat,” katanya ketika

ditemui di Pengkalan Nelayan Kampung Seberang Batu Badak di Segamat, Johor baru-baru ini.
Tambah Talam, sekiranya arus kuat, jaring tidak boleh dipasang kerana ia akan bergulung akibat dibawa arus dan dikhuatiri hanya sampah sarap memenuhi jaring.

Orang ramai teruja melihat pelbagai tangkapan ikan sungai.

Talam yang merupakan seorang nelayan sungai juga mengakui rezeki memperolehi ketutu mampu membawa hasil lumayan kepada keluarganya.

“Bagi golongan nelayan, apabila ketutu tersangkut pada jaring atau pukat, terperangkap dalam bubu atau terkena mata kail seolah menemui ketulan emas kecil.

“Saya akan memasang jaring di beberapa lokasi yang disifatkan sebagai lubuk ikan ini di Sungai Segamat dan Sungai Muar di Segamat serta muara Sungai Buloh Kasap.

“Lazimnya kami akan membiarkan jaring berkenaan semalaman sebelum menariknya keesokan awal pagi hari.

“Selain ketutu, ikan yang lazim tersangkut pada jaring juga ialah ikan lampam, baung dan lais,” kongsinya.

Sementara itu, Lim Khya Huat, 36, berkata, ikan ketutu lebih lazat berbanding ikan lain dengan rasa yang unik.

“Isi ikan ketutu ini yang lebih padat tetapi lembut amat digemari masyarakat Cina terutama sekali sebagai hidangan makan besar Tahun Baharu Cina.

“Menurut kepercayaan kaum Tionghoa, haruan hodoh ini dikatakan mampu menyembuhkan penyakit-penyakit tertentu.

“Ia sedap dimasak goreng, disira dengan sos masam manis tomato atau dimasak stim bersama sos tiram, minyak bawang putih, hirisan nipis halia muda dan sedikit perahan limau nipis,” ujarnya.

Ketutu, haruan hodoh atau nama popularnya belontok serta ikan hantu adalah tergolong dalam ikan air tawar yang terdapat di negara-negara Asia Tenggara.

Dengan warna dan coraknya yang berceloreng membuatkan ikan ini sangat bijak menyamar dan bersembunyi di sebalik batu atau dedaunan mahupun kayu.

Ikan ini boleh dikategorikan sebagai ikan pemangsa, namun demikian ia sangat malas dan pasif untuk memburu mangsanya.

Ia lebih suka menunggu mangsa yang berenang berhampiran lalu membahamnya apabila dikira sudah cukup hampir tanpa perlu bekerja keras mengejar mangsa.

Ketutu juga sangat aktif pada waktu malam, dan adakalanya keluar dari tempat persembunyian untuk mencari mangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN