Pangkalan haram di Lubok Gong, Rantau Panjang merupakan antara laluan tikus penyeludup membawa masuk pelbagai barangan ke negara ini.

Selit pistol celah guni beras Siam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pelbagai taktik digunakan oleh sindiket penyeludupan untuk membawa masuk senjata api ke negara ini bagi memenuhi permintaan pelanggan termasuk menyelit pistol di
celah timbunan guni beras Siam.

Pistol jenis Glock itu bagaimanapun hanya akan diseludup menyeberangi Sungai Golok menggunakan perahu sekiranya terdapat permintaan daripada pembeli yang rata-ratanya terdiri
daripada ahli perniagaan dan ahli sindiket dadah.

Satu sumber berkata, senjata api Glock sememangnya mendapat permintaan tinggi di negara ini.

“Pistol tersebut diperoleh di beberapa kawasan di selatan Thailand dan a dibawa ke sempadan sebelum diseludup masuk melalui di Sungai Golok.

“Harga bagi sepucuk pistol Glock di Thailand adalah RM2,000. Ia kemudian dijual kepada pembeli di sini pada harga RM4,000 hingga RM6,000,” katanya kepada Kos­mo! baru-baru ini.

Menurut sumber itu, harga jualan senjata api tersebut berbeza bergantung kepada jumlah peluru yang dipesan.

Biarpun mengetahui risiko berat yang bakal dihadapi sekiranya ditangkap pihak berkuasa, namun keuntungan cecah dua kali ganda yang diperoleh penyeludup menyebabkan mereka sanggup melakukan kerja haram itu.

Jelas sumber itu, ‘tugasan’ menyeludup senjata api itu tidak boleh dilakukan secara berkumpulan kerana dikhuatiri berlakunya ketirisan maklumat.

“Jumlah senjata yang dibawa masuk pula bergantung kepada permintaan, kadang-kadang boleh mencecah empat pucuk pistol sebulan bagi seorang penyeludup.

“Mereka yang membeli pistol ini biasa pengedar dadah dan ahli perniagaan,” katanya.

Tambah sumber itu, pangkalan haram di sekitar Rantau Panjang dan Tumpat menjadi pilihan sindiket penyeludupan senjata api.

“Senjata api ini dibawa ma­suk menggunakan laluan sama dengan laluan tikus penyeludup membawa masuk beras, mercun dan barangan kontraban yang lain,” ujarnya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang lelaki tempatan diberkas di Terminal 1, Lapa­ngan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Sela­ngor selepas melepaskan tembakan dipercayai ditujukan kepada isterinya pada bulan lalu.

Dalam kejadian itu, isteri suspek terselamat, manakala pe­ngawal peribadi wanita itu pula cedera parah di perut.

Siasatan awal mendapati lelaki berusia 38 tahun itu membeli pistol semi automatik berkenaan daripada seorang lelaki warga Thailand beberapa hari sebelum insiden tersebut pada harga RM5,000 sepucuk.

Pada Mac lalu, lelaki warga Israel ditahan bersama enam pucuk pistol dan 158 butir peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Semakan mendapati, suspek membeli kesemua senjata api yang disyaki diseludup masuk dari Thailand pada harga lebih RM10,000.

Hasil soal siasat mendapati senjata terbabit diseludup ma­suk melalui sempadan sebelum diserahkan kepada lelaki itu.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya akan memperketat kawalan di sempadan negara bagi mengekang aktiviti penyeludupan berikutan tangkapan dan rampasan senjata api yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Menurut beliau, penugasan di sempadan diketuai oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) yang ditugaskan berkawal di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.

“PGA merupakan lapisan pertama yang mengawal sempadan diikuti lapisan kedua di peringkat Ketua Polis Daerah dan Ketua Polis Balai.

“Sebelum ini, kita sudah memperketatkan kawalan di sempadan negara bagi mengekang kegiatan penyeludupan terma­suk barang terlarang dan senjata api,” kata ketika dihubungi ­Kosmo!.

Sehubungan itu, Muhamad Zaki meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyeludupan supaya menghubungi balai polis berdekatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN