fbpx
PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru.

PRK KKB petunjuk sokongan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERTEMBUNGAN empat penjuru bagi menguasai Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) yang dijadualkan pada 11 Mei ini ternyata memberi satu cabaran besar kepada gabungan parti politik bertanding.

Melalui empat calon yang bertanding kali ini, pastinya fokus akan diberikan kepada wakil Kerajaan Perpaduan menerusi Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) memandangkan mereka merupakan gabungan parti politik utama negara.

Namun, ini bukan bermakna tumpuan tidak diberikan kepada calon Bebas serta wakil Parti Rakyat Malaysia (PRM), jika kena caranya, mereka juga mampu mencipta kejutan.

Jadi, dalam konteks ini, jentera PH dilihat perlu memantapkan ‘serangan’ bagi memastikan kekal menguasai Kuala Kubu Baharu, yang mana kemenangan itu secara tidak langsung bakal memberi terjemahan sokongan rakyat kepada kepimpinan ketika ini.

Penganalisis politik, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, PRK kali ini dilihat lebih sengit memandangkan ia melibatkan pertembungan dua gabungan parti politik utama negara, selain diadakan di Selangor yang merupakan antara lokasi panas.

“Jika dilihat, PN akan memastikan kemenangan memihak kepada mereka bagi membuktikan utara Selangor yang merupakan kubu kuat mereka.

“Tetapi, PH juga perlu menggunakan PRK ini sebagai peluang untuk menoktahkan gelombang hijau yang digerakkan oleh PN semenjak Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya, calon Bebas pula disifatkan sebagai ‘nasi tambah’, sekali gus tidak mampu memberi cabaran besar kepada calon PH dan PN.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung parti yang mempunyai peluang cerah pada PRK kali ini, Dr. Mohammad Tawfik berkata, ia terlalu awal untuk memutuskan mengenai kelebihan itu.

“Masih terlalu awal untuk memutuskan siapa akan menang dalam PRK kali ini, namun PN setakat ini mempunyai kelebihan daripada aspek menguasai isu semasa seperti harga barang, kos sara hidup, isu sensitif melibatkan orang Melayu Islam seperti kalimah Allah.

“PH pula ada kelebihan daripada segi prestasi kerajaan negeri yang mewujudkan pelbagai inisiatif untuk rakyat yang dijadikan senjata untuk menguasai sentimen pengundi di kawasan DUN KKB,” ujarnya.

Katanya, suasana politik Malaysia ketika ini juga lebih menjurus kepada politik persepsi iaitu mana-mana parti yang berjaya menguasai persepsi majoriti pengundi, maka mereka mendahului.

“Dalam hal ini, saya lihat PN terkehadapan kerana gabungan berpaut kepada isu panas semasa dan persepsi untuk semakin mendapat sokongan pengundi,” jelasnya.

Menurutnya, PH turut mempunyai peluang bagi mengekalkan penguasaan di KKB, namun dengan kemenangan majoriti yang tipis sekiranya mereka berjaya mendahului persaingan politik persepsi dengan PN.

“Senjata politik yang PH miliki hari ini dalam kempen di DUN KKB ialah menggunakan prestasi pentadbiran kerajaan Selangor dan pencapaian pelbagai inisiatif kerajaan negeri kepada rakyat.

“Jika PH bijak memanipulasi inisiatif terlibat sebagai senjata politik di PRK KKB, maka saya lihat pengundi akan masih memberi sokongan kepada calon PH,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN