KEBANYAKAN peminat hiasan laman yang dahulunya menyimpan keladi mula bertukar selera ketika ini apabila mereka memilih pokok bunga anthurium untuk diletakkan di halaman rumah.
Mempunyai bentuk yang sama, keladi dan anthurium terdiri daripada spesies yang berbeza.
Anthurium merupakan genus tumbuhan berbunga yang dikatakan mencecah lebih 1,000 spesies yang berbeza-beza meskipun secara
fizikalnya ia dilihat seperti pokok keladi.
Berasal daripada keluarga Araceae dan subkeluarga Pothoideae, anthurium adalah genus tempatan Amerika Syarikat yang tersebar dari Mexico ke Argentina dan sebahagiannya ke Caribbean kini menjadi ‘kegilaan’ penggemar pokok hias laman di negara ini termasuk di Kelantan.
Seorang guru di sebuah sekolah antarabangsa di Kota Bharu, Pua Chun Kit , 28, berkata, minatnya terhadap anthurium bermula sejak empat tahun lalu apabila menerima hadiah sebatang pokok tersebut daripada jirannya.
Dia yang mesra dengan panggilan Keith berkata, bermula daripada saat itu, keinginannya untuk menambah koleksi kian melonjak dan sanggup membelanjakan wang gajinya setiap bulan.
“Sebelum ini, saya meminati tanaman keladi jenis Caladium dan Colocasia. Selepas melihat keunikan serlahan daun anthurium, saya mula beralih selera.
“Kebanyakan tekstur daun anthurium terserlah apabila bahagian tersebut sedikit keras dengan pelbagai corak dan rupa bentuk yang berbeza berbanding keladi,” katanya ketika ditemui Panorama di rumahnya di Gunung, Bachok baru-baru ini.
Keith memberitahu, harga anthurium terpilih di pasaran dunia dianggarkan bermula RM40 hingga RM5,000 mengikut saiz, tekstur dan keunikan serlahannya.
Menurutnya, kebanyakan penggemar tidak mampu membeli tanaman tersebut pada harga kayangan, namun mengambil langkah berjimat membeli anak anthurium untuk dijadikan baka atau koleksi.
“Saya pernah membeli sepokok Anthurium ‘King of spades x Red Crys’ berharga RM500 yang hanya sejengkal tinggi.

“Setakat ini, saya sudah memiliki 50 koleksi pokok selepas mengeluarkan modal beribu ringgit. Usaha saya menghasilkan anak benih baharu yang dibeli penggemar juga dapat menampung sedikit bebanan mereka,” ujarnya.
Keith bercerita, antara koleksi yang berada dalam simpanannya ketika ini ialah Anthurium Magnificum, Anthurium Radican, Anthurium
Tarantula, Anthurium Halloween, Anthurium Warocqueanum, Anthurium Veitchii, Anthurium Luxurians equador dan Anthurium Crystal Hope.
Menurutnya, paling mahal dan disayanginya ialah anthurium dari Indonesia yang merupakan hasil silangan baka Hendry iaitu Anthurium Papillilaminum ‘Xone’ dengan Anthurium Dark Phoenix.
Katanya, setakat ini, dia hanya memiliki lapan pokok matang usia (induk) dan selebihnya masih berusia remaja.
“Bagi memastikan tumbesaran anthurium, saya gunakan baja Osmocote dalam dua hingga tiga bulan sekali selain semburan baja foliar setiap minggu.
“Pokok hiasan laman ini mesti ditempatkan di lokasi yang redup dengan capaian cahaya yang mencukupi selain siraman air secara harian terutama ketika cuaca panas,” katanya.
Menurutnya, siraman air dibuat tiga kali seminggu bagi mengelakkan kerosakan akarnya semasa musim hujan.
Keith memberitahu, pertumbuhan pucuk baharu perlu ditatang sebaik mungkin bagi mengelak sebarang kerosakan yang mungkin berlanjutan termasuk mencacatkan serlahannya selepas pucuk itu mengeras.
“Ramai yang impikan tujuh spesies yang paling mahal di dunia iaitu Anthurium Superbum, Anthurium Warocqueanum, Anthurium Pterodactyl Varigata, Anthurium Keris, Anthurium King Veitchii, Anthurium Black Mamba dan Anthurium Black Mamba.
“Berdasarkan pemerhatian, anthurium ini diminati pelbagai peringkat usia, anak muda, umur pertengahan sehinggalah warga emas,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi peminat anthurium, Muhamad Mukhriz Hakim Mohd. Sham, 20, berkata, dia minat terhadap spesies Aroid yang popular seperti Monstera, Aglonema dan Alocasia.
Menurut mahasiswa Sarjana Muda Biologi Gunaan, Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang itu, kerinduannya terhadap anthurium yang ditinggalkan kepada ibu bapanya di Pengkalan Chepa, Kelantan terubat setiap kali tibanya cuti semester.
“Pantang ada cuti, fikiran terus terbayang rupa bentuk bunga yang ditinggalkan sama ada semakin membesar atau sebaliknya.
“Semasa di bangku sekolah menengah, saya dapat mengurus pokok sepanjang waktu. Bukan sekadar hobi yang memberi kepuasan, tetapi sebagai terapi minda yang memberi ketenangan jiwa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Pengkalan Chepa, Kota Bharu baru-baru ini.
Muhamad Mukhriz Hakim memberitahu, tumpuannya ketika ini lebih kepada belajar dan menyiapkan tugasan kerja kursus dengan mengetepikan seketika hobinya itu meskipun dia rindu untuk menggubah tanaman tersebut di rumah.
“Ahli keluarga banyak menghantar gambar atau membuat penggilan video untuk menunjukkan keadaan semasa tanaman anthurium saya.
“Tidak rugi menanam anthurium kerana nilai harganya kekal dan diminati ramai tanpa musim.
“Saya turut menghasilkan anak benih pokok baharu yang dijual dalam skala kecil menerusi dalam talian,” ujarnya.
Menurutnya, anak benih baharu perlu diusahakan sebagai gantian kepada induk yang mungkin berdepan kematian.
“Bukan hanya menjana pendapatan, hobi ini turut dapat membantu menambah kenalan yang sama hobi.
“Saya menanam bunga anthurium bermula dengan satu pasu dan kini mempunyai lebih 30 spesies yang berbeza,” ujarnya.














