MEMILIKI rumah sendiri sudah semestinya diinginkan semua orang. Namun begitu, ramai yang terpaksa menyimpan keinginan itu sementara memandangkan harga rumah yang mahal terutamanya di ibu kota.
Meskipun banyak projek perumahan mampu milik dibangunkan, namun masih ada yang tidak mampu untuk membelinya terutamanya golongan muda.
Maka tidak hairanlah banyak unit perumahan yang telah dibina oleh syarikat pemaju tidak terjual.
Felo Penyelidik di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya, Dr. Nurul Ashikin Alias berkata, terdapat beberapa perkara dikenal pasti menjadi faktor kepada kegagalan penjualan rumah di Malaysia iaitu harga yang terlampau tinggi, lambakan pembekal di pasaran serta syarat kelulusan pinjaman yang ketat.
Menurutnya, dapat dilihat, kadar nilai inflasi terkini adalah pada nilai 1.5 peratus sejak Disember 2023.
“Tambahan pula, keadaan inflasi yang semakin meningkat juga telah mendorong berlakunya peningkatan nilai sesebuah hartanah perumahan yang disebabkan peningkatan kos pembelian bahan-bahan binaan yang diperlukan.
“Memang tidak dinafikan bahawa harga hartanah kini semakin meningkat dan jika seseorang individu lambat untuk membeli hartanah perumahan tersebut, maka sudah pastinya akan ketinggalan jauh di belakang,” katanya.
Tambahnya, berdasarkan realiti pada masa kini kenaikan gaji sedia ada apabila dibandingkan dengan kenaikan pantas nilai harga sesebuah unit perumahan telah mengakibatkan masih ramai lagi individu yang berfikir beberapa kali untuk membuat keputusan membeli rumah.
Selain itu, jumlah bilangan pemaju perumahan yang sentiasa bertambah dari semasa ke semasa juga menjadi salah satu faktor yang mendorong kepada kegagalan penjualan hartanah kediaman di Malaysia.
Jika dilihat, terdapat banyak pemaju-pemaju besar yang sedang giat membangunkan kawasan-kawasan baru dengan pembinaan pelbagai jenis kediaman dari tahun ke tahun sama ada bagi kategori kediaman mewah, sederhana, rendah dan juga projek perumahan rakyat.
Nurul Ashikin menjelaskan, akibat daripada persaingan hebat dalam kalangan pemaju-pemaju ini, harga rumah telah meningkat naik dengan hebatnya.
“Keadaan ini telah mewujudkan satu situasi di mana bilangan pembekal adalah ramai, sedangkan bilangan pembeli lebih rendah.
“Dengan kata lain penawaran tinggi, permintaan kurang dan masalah ini juga dipandang serius pihak pemaju bagi mengelakkan mereka menghadapi kerugian yang besar selari dengan tempoh masa yang panjang,” jelasnya.
Dalam masa sama, kini masih ramai lagi individu yang gagal mendapatkan kelulusan pinjaman rumah daripada pihak bank.
Hal ini kerana pihak bank kini lebih berhati-hati dalam meluluskan sesebuah pinjaman rumah bagi mengelakkan berlakunya masalah ketidakmampuan pembayaran semula pinjaman tersebut.
Oleh yang demikian, terdapat banyak rungutan demi rungutan disampaikan pihak pembeli yang berpotensi akibat daripada penolakan permohonan pinjaman daripada pihak bank.














