LUMUT – Rata-rata pengusaha homestay di sekitar Seri Manjung dan Lumut di sini mengakui, ada dalam kalangan pelanggan menghubungi mereka bagi tujuan pembatalan tempahan rumah atau bilik disebabkan sambutan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-90 pada 3 hingga 5 Mei ini yang dibatalkan.
Pembatalan Hari TLDM itu dibuat ekoran 10 pegawai, anggota TLDM terkorban selepas dua helikopter berlanggar di Pangkalan TLDM ketika raptai
Perbarisan Hari TLDM ke-90 di sini kelmarin.
Menurut pengusaha Imans Homestay di Kampong Dato Seri Kamaruddin di Seri Manjung, Nurul Aiza Ariffin, 43, dia dihubungi pelanggan pagi semalam bagi memaklumkan hasrat mereka mahu membatalkan tempahan.
Katanya, pelanggan memberi alasan terpaksa mengambil tindakan itu berikutan sambutan Hari TLDM telah dibatalkan, justeru tiada sebab lagi untuk
mereka berkunjung ke Lumut.
“Bagaimanapun, saya memaklumkan kepada mereka bahawa wang deposit tempahan homestay tidak akan dikembalikan ekoran pelbagai sebab.
“Antaranya dia mengalami kerugian ekoran telah menolak ramai potensi pelanggan kerana mengutamakan keluarga tersebut.
“Bagaimanapun, saya memahami keadaan dialami pelanggan tersebut. Jadi kami memberi pilihan kepadanya iaitu mereka masih boleh menetap di homestay ini mengikut tarikh diingini dalam tempoh enam bulan dari sekarang,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Sementara itu, Pengurus D’Lumut Homestay di Teluk Muroh, Choo Su Ai berkata, beberapa orang pelanggannya tidak memberikan maklum balas apabila ditanyakan berhubung pengesahan penginapan di homestay diusahakannya.
“Ada beberapa pelanggan iaitu dari Pulau Pinang dan Kuala Lumpur yang tidak memberikan respons apabila saya tanya mengenai pengesahan penginapan. Ini kerana mereka mahu datang untuk Hari TLDM.
“Ada kemungkinan mereka akan membatalkan tempahan homestay pada saat-saat akhir. Saya tidak mahu terlalu menekan pelanggan dan membiarkan keadaan reda terlebih dahulu sebelum bertanya lagi tentang perkara itu (tempahan),” katanya.
Seorang pengusaha rumah tumpangan, Mohd. Farizan Abd. Rashid, 49, mengakui bahawa perniagaannya itu turut terjejas susulan daripada tragedi yang meragut 10 nyawa itu.
“Dua daripada tujuh homestay milik saya telah dibatalkan tempahannya. Penginap tak jadi datang sebab Hari TLDM dibatalkan. Ada yang datang daripada Kuala Lumpur dan kedah semata-mata nak lihat pertunjukan udara tu.

“Orang pakat tempah sebulan awal sebab takut penuh. Biasanya yang datang bukan sebab nak tengok pertunjukan udara saja tapi alang-alang jumpa ahli keluarga yang bertugas di sana sekali.
Ujarnya, wang deposit juga akan dikembalikan semula kepada pelanggan jika tempahan dibatalkan.
“Dua tempahan yang dibatalkan semalam, telah saya kembalikan wang deposit mereka. Saya tiada hak untuk ambil deposit tu sebab mereka bukan saja-saja mahu cancel.
“Kejadian nahas ni tiada siapa yang mahu ia berlaku, jadi untuk menyenangkan kedua-dua pihak, saya lebih selesa jika tiada siapa yang rugi dan slot kosong di rumah tumpangan saya itu masih boleh diisi oleh orang lain,” ujarnyai.
Tambah pesara TLDM itu lagi, tempahan rumah tumpangan yang diterimanya pada tahun ini amat memberangsangkan walaupun hanya Hari TLDM yang dianjurkan berbanding Hari Angkatan Tentera (ATM).
“Acara ni memang dah ditunggu-tunggu sejak awal tahun lagi, ramai mula bertanya dari bulan lepas tapi selepas raya makin ramai yang mahu tempah homestay. Kalau acara ni jadi, memang ramai penduduk setempat dapat untung.
“Namun kami penduduk setempat reda sahaja dengan ketentuan Ilahi dan berharap supaya ahli keluarga mangsa yang terlibat tabah dalam menghadapi ujian ini.
Berkongsi luahan sama, seorang pengusaha rumah tumpangan di Mohd. Ishak Mohd Som, 63, merupakan seorang pengusaha rumah tumpangan yang terletak bersebelahan Pangkalan TLDM itu berkata, tiga daripada lima tempahan telah dibatalkan semalam.
“Semalam dua hingga tiga orang pelanggan yang call (telefon) mahu batalkan tempahan homestay lepas berita dapat tahu yang Hari Armada dibatalkan.
“Tak termasuk itu, ada yang baru nak bayar wang deposit kepada saya, tiba-tiba cakap tak jadi lepas berita tentang pembatalan acara itu tular di media sosial,” ujarnya.














