JELEBU – Tindakan seorang bekas pereka grafik menghisap syabu kononnya sebagai tenaga tambahan menjaga ibunya yang sakit mengundang padah apabila dia menjadi ketagih sehingga diberkas pihak berkuasa.
Huzairi, 40-an, berkata, dia mengambil syabu bagi menjaga ibunya kira-kira 10 tahun lalu sebelum wanita berusia 80-an itu itu meninggal dunia akibat sakit tua.
Katanya, keadaan menjadi huru-hara apabila dia gagal berhenti selepas kematian ibunya kerana amat ketagihkan benda haram tersebut.
“Saya belanja RM30 sehari untuk beli syabu. Ketika jaga ibu saya boleh berjaga lebih masa, kuat dan cergas.
“Selepas ibu meninggal dunia, saya ketagih dan perlu hisap dadah tiap-tiap hari. Itulah detik hitam dalam hidup saya sehingga ditangkap pada Februari tahun lalu di rumah,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Jelebu, di sini baru-baru ini.
Huzairi yang berasal dari Klang, Selangor berkata, dia pada mulanya bimbang untuk menjalani hukuman di Puspen kerana menyangka persekitarannya seperti penjara.
Sangkaannya meleset apabila setiap pelatih Puspen dianggap seperti keluarga dan diberikan galakan untuk mengamalkan sikap positif.
Menurut Huzairi, modul i-Pulih yang diamalkan mendidik pelatih menjaga kebersihan, solat dan dapat melupakan rasa rindu kepada dadah.
“Keluarga memberi galakan dan mereka semua (enam beradik) beraya bersama saya tahun lalu,” katanya.
Bekas pengawal peribadi dari Pulau Pinang, Zaidi, 30-an pula berkata, sejak dimasukkan pada 16 Mac tahun lalu, dia amat merindui keluarganya.
“Saya menyesal dan kecewa. Saya baru seminggu hisap dadah kerana mahu lari daripada masalah rumah tangga,” katanya.
Ujar Zaidi, dia menghisap dadah kerana tertekan ekoran dalam proses perceraian.
“Ini ialah cara Allah menyelamatkan saya. Tetapi saya terkilan kerana tidak dapat menunaikan janji menanggung adik yang menyambung pelajaran di universiti,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Puspen Jelebu, Norasiken Ahmad berkata, pendekatan kekeluargaan yang diamalkan memberi hasil yang positif terhadap perubahan sikap pelatih.
“Mula-mula masuk mereka memang marah-marah kerana rasa remeh serta memalukan ketika disuruh menjaga kebersihan.
“Namun mereka akhirnya sedar kebersihan itu adalah ibadah dan mengubah mereka menjadi lebih baik,” katanya.
















