KUALA LUMPUR – Rata-rata penjual di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) mula ‘membuang harga’ dan membuat lelongan susulan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tiga hari lagi.
Tinjauan Kosmo! mendapati, kebanyakan peniaga barangan keperluan Aidilfitri seperti baju Melayu, baju kurung, kuih-muih serta aksesori raya sudah mula menawarkan diskaun menarik serta jualan pada harga kombo untuk menghabiskan stok.
Kini baju Melayu boleh didapati pada harga RM100 untuk dua pasang, baju kurung RM50 sepasang, manakala kuih raya RM100 bagi enam balang.
Menurut peniaga, Muhamad Khairul Kasim, 18, dia sudah mula ‘membuang harga’ sejak Jumaat lalu untuk memastikan stok kuih rayanya dapat dihabiskan.
Katanya, kini dia menjual kuih raya pada harga RM100 untuk empat balang berbanding RM80 untuk tiga balang sebelum ini.
Ujarnya, jualan tahun ini yang merosot hampir 50 peratus berbanding 2023 merupakan antara faktor yang memaksanya menurunkan harga jualan lebih
awal.
“Dahulu, sehari saya boleh dapat paling banyak RM10,000. Tetapi sekarang, hendak dapatkan RM3,000 pun susah. Ramai orang datang Jalan TAR tahun ini untuk cuci mata.
“Kalau saya tidak ‘buang’ harga sekarang, siapa hendak beli kuih raya ini nanti,” katanya ketika ditemui semalam.
Sementara itu, peniaga baju raya, Shamsul Anuar Ismail, 39, berkata, antara faktor jualan tidak memberangsangkan tahun ini mungkin disebabkan oleh
waktu persekolahan yang hampir dengan musim perayaan dan juga tarikh gaji yang jatuh di pertengahan bulan puasa dan hari raya Aidilfitiri.
“Tahun ini, ramai memilih untuk berjimat kerana duit telah dihabiskan membeli barangan keperluan persekolahan anak-anak.
“Saya dapati, pengunjung juga tidak seramai tahun lepas. Saya rasa, orang tidak mampu lagi membeli persiapan raya kerana sudah berbelanja banyak untuk anak-anak.
“Saya sudah mula jual kurta dengan harga RM100 untuk dua pasang. Kalau orang ingin beli satu sahaja, tidak mengapalah saya akan jual dengan harga RM50 walaupun harga sebelum diskaun adalah RM56,” katanya.














