ATAS dasar cinta yang sangat mendalam, seorang lelaki yang hanya ingin dikenali sebagai Ari telah mengambil keputusan untuk melamar kekasihnya menjadi isteri yang sah.
Meskipun dia dan wanita itu membesar dalam keluarga yang berlainan darjat, itu tidak menjadi halangan untuk mereka bersama.
“Saya hanyalah budak kampung yang dibesarkan dalam keluarga yang biasa-biasa saja.
“Tetapi tidak isteri saya, dia boleh dikatakan berasal daripada keluarga yang agak senang dan membesar di ibu kota,” kata Ari yang berusia awal 30-an saat mengimbas detik permulaan perkahwinannya.
Disebabkan cinta antara satu sama lain, isterinya itu menerima dirinya meskipun Ari mempunyai latar belakang berbeza dan Ari cuma bekerja sebagai pembantu pejabat.
Dari segi kerjaya juga, isterinya itu yang bekerja dalam sektor swasta mempunyai pendapatan lebih besar daripadanya.
Ketika tahun pertama perkahwinan, rumah tangga yang mereka bina tiada masalah dan Ari serta isterinya amat bahagia.
“Namun, setelah memasuki dua tahun usia perkahwinan kami, saya melihat isteri saya ini seorang yang tidak menghormati suami.
“Ada ketikanya, kami bergaduh kecil dan dia sanggup menengking saya, bukan itu sahaja, ada ketika dia bercakap kasar yang kadang-kadang melukakan hati saya,” terangnya.
Ari menambah, isterinya seakan memandang kecil kepada dirinya, apatah lagi isterinya itu berjawatan lebih besar daripadanya.
Bukan itu sahaja, Ari menjelaskan, isterinya itu juga sering melakukan sesuatu perkara tanpa bertanya atau meminta keizinannya terlebih dahulu.
“Ada satu ketika, dia langsung tidak memberitahu saya yang dia akan pergi melancong dengan rakan-rakannya ke luar negara.
“Dia langsung tidak meminta keizinan saya dan hanya memberitahu hal itu seminggu sebelum dia pergi melancong.
“Padahal tarikh dia pergi melancong itu adalah sama dengan tarikh perkahwinan adik saya dan kami perlu pulang ke kampung saya pada waktu itu,” jelasnya.
Tambahnya, dia terpaksa berbohong kepada keluarganya dan menyatakan isterinya itu tidak dapat pulang ke kampung kerana ada kerja penting di luar negara.
Ari berkata, isterinya mengaku sebenarnya dia tidak suka untuk pulang ke kampung Ari.
Wanita itu menyatakan rumah keluarga di kampung biasa sahaja dan ramai sanak saudara yang tinggal di situ.
“Malah, isteri saya menyatakan dia geli untuk menggunakan tandas dan pergi ke dapur rumah keluarga saya kerana dia merasakan tempat itu kotor.
“Bukan itu sahaja, ahli keluarga saya di kampung juga dapat melihat rasa ketidakselesaan isteri saya ketika kami pulang ke kampung,” terangnya.
Tambahnya, boleh dikatakan, terlalu susah untuk membawanya pulang ke kampung bersama.
Kebiasaannya, Ari akan pulang bersendirian ke kampung halamannya bagi mengubat rindu.
Jika pulang beraya ke kampungnya, isterinya akan menempah hotel dan tidak mahu tidur di rumah keluarga Ari.
“Sepanjang lima tahun perkahwinan kami, dua kali saya membawa isteri saya untuk pulang beraya di kampung saya.
“Sebolehnya dia tidak mahu pulang beraya ke kampung saya, dia memberi syarat untuk tinggal di hotel jika saya mahu dia ikut saya pulang menyambut Aidilfitri di kampung halaman saya,” jelasnya.
Ari terpaksa akur dengan keputusan isterinya itu, malah dia sendiri malu untuk menjawab soalan apabila ahli keluarganya bertanya kenapa isterinya memilih untuk menginap di hotel.
Malah, Ari tahu bahawa ibunya terluka dengan sikap isterinya itu tetapi hanya disimpan di dalam hati.
Dalam pada itu, Ari mengakui, perkahwinan antara dia dan isterinya itu semakin lama semakin renggang kerana darjat mereka berdua yang berbeza.
Malah lama-kelamaan, Ari sendiri tawar hati dengan sikap isterinya itu yang langsung tidak menghormati dan bersikap kasar kepadanya.
“Ada satu ketika, apabila kami bergaduh, isteri saya menyatakan bahawa dia boleh hidup tanpa saya kerana dia memiliki kerjaya yang lebih bagus daripada saya.
“Saya dapat merasakan sikapnya itu tidak akan berubah, lalu saya mengambil keputusan untuk berpisah dengannya.
“Saya juga ingin pulang bekerja di kampung dan tinggal berdekatan bersama-sama orang tua saya,” terangnya.
Akhirnya mereka berdua mencapai kata sepakat untuk berpisah dan akhirnya sah mengakhiri perkahwinan mereka di sebuah mahkamah syariah di Lembah Klang.















