PETALING JAYA – Hampir seminggu lagi umat Islam akan menyambut Aidilfitri dan ramai yang sedang sibuk membuat persiapan akhir sebelum masing-masing pulang berhari raya di kampung.
Pastinya dalam kesibukan tersebut, ramai kaum ibu dan wanita tidak berkesempatan untuk memasak dan menyediakan juadah untuk berbuka puasa selain ramai juga yang lebih suka memilih berbuka puasa di luar bersama keluarga dan teman-teman.
Lokasi seperti hotel yang menyediakan juadah berbuka puasa secara buffet menjadi pilihan dan salah satu destinasi pilihan yang mampu memenuhi keperluan berbuka puasa menjelang minggu akhir di bulan Ramadan ini adalah MiCasa All Suite Hotel (MiCasa).
Premis yang terletak di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur dan berdekatan dengan KLCC itu, ia seolah ‘tersorok’ disebalik kesibukan jalan utama di lokasi strategik tengah bandar raya selain ‘ditenggelami’ oleh pelbagai bangunan pencakar langit di situ.

Namun MiCasa memiliki keunikannya tersendiri selain diliputi dengan kehijauan dan bangunan lama yang masih berdiri kukuh menjadi pilihan ramai pelancong asing termasuk juga tempatan.
Di sebalik keunikan tersebut, hotel ini turut menyediakan hidangan bufet berbuka puasa yang menawarkan masakan signatur rakyat tempatan seperti lauk pauk kampung, kuih muih dan juga kambing golek.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, hidangan gabungan tradisional dan barat yang dimasak oleh cef berpengalaman, Cef Adrian di hotel tersebut sentiasa mendapat perhatian pengunjung setianya termasuk pengunjung dari luar negara.

Lautan Seafood menjadi pilihan pengunjung dengan barisan ulam-ulaman serta pelbagai jenis sambal selain dilengkapi dengan lauk pauk tradisional di samping juadah satay, keropok lekor, cucur udang, tofu bergedil, pisang goreng, kuih muih tradisional, bubur dan kek mini.
Masih sempat lagi untuk membuat tempahan berbuka puasa di sini dan harga bufet yang diawarkan juga adalah sangat menarik iaitu RM139 seorang dewasa pada hari Khamis hingga Sabtu manakala harga yang ditawarkan pada hari Ahad hingga Rabu pula adalah RM168 seorang dewasa.
Selain itu bagi mereka yang berminat untuk menjadikan MiCasa sebagai lokasi untuk istirihat dan bercuti hanya di dalam Kuala Lumpur, terutamanya bagi mereka yang memilih bercuti raya di Kuala Lumpur sahaja maka ia adalah satu pilihan yang secocoknya.
Hotel yang dikelilingi dengan rimbunan hijau pokok dengan taman bunga yang menarik seolah berada dalam resort mewah dapat memberi ketenangan kepada setiap pengunjungnya.

Mendengar desiran air pancut dan juga ketenangan di kolam renang membuatkan ramai yang teruja untuk berihat di situ sambil melayan kerenah anak-anak bermandi manda di situ.
Suasana yang harmoni dan damai itu dapat memberi kesegaran kepada pengunjungnya selepas merihatkan diri di atas katil empuk di setiap bilik yang memiliki saiz bilik yang luas.
“Ketenangan menginap di situ seolah berada di sebuah resort mewah di luar KL tetapi sebenarnya ia benar-benar terletak berdekatan dengan laluan utama Jalan Tun Razak dan juga pusat ikonik KlCC,” jelasnya.
Memandangkan lokasinya berdekatan dengan pelbagai menara dan pejabat syarikat korporat di situ, kebanyakan pengunjung menginap di situ atas tujuan bekerja selain menjadi pilihan terbaik kepada pelancong luar negara. -KOSMO! Online















