KUALA LUMPUR – Siasatan polis ke atas lelaki Israel yang ditahan bersama enam pucuk pistol dan 200 butir peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang, di sini, kini berfokus kepada kemungkinan suspek masuk ke Malaysia sebagai koordinator bagi mengupah beberapa individu melakukan pembunuhan di negara ini.
Satu sumber keselamatan berkata, suspek dikenali sebagai Shalom Avitan, 36, dipercayai telah mengupah beberapa individu dengan bayaran lebih RM500,000 untuk mencari dan membunuh individu tertentu yang polis sedang mengenal pasti identiti individu yang disasarkan.
“Kemungkinan siasatan tertumpu kepada peranan lelaki terbabit bergerak sebagai koordinator untuk mengupah beberapa individu lain yang terdiri dalam kalangan warga asing untuk melakukan perbuatan itu.
“Polis tidak menolak kemungkinan suspek mengupah rakyat Thailand, Filipina atau mana-mana warga asing yang sanggup membuat serangan tersebut kerana upah ditawarkan sampai setengah juta,” katanya ketika dihubungi semalam.
Namun, katanya, misi suspek tergendala apabila dia ditahan bersama enam senjata api yang dibeli menggunakan mata wang kripto.
“Polis juga sedang menyiasat sama ada suspek pernah masuk ke negara ini sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya turut mengambil kira dalam siasatan tentang dakwaan suspek masuk masuk ke negara ini bagi membunuh pemimpin kumpulan jenayah seteru negaranya.
“Kita akan siasat semua kemungkinan, termasuk dakwaan suspek atau mana-mana laporan,” ujarnya kepada Kosmo! ketika diminta mengulas mengenai laporan akhbar Times of Israel yang mengatakan suspek itu mempunyai kaitan dengan kumpulan penjenayah Israel yang dikenali Musli Brothers.
Laman berita Mako melaporkan, lelaki itu dalam misi untuk membunuh ketua sebuah kumpulan seteru, Eran Haya.
Tambah Razarudin, pihaknya sedang menjejaki baki beberapa individu dipercayai terbabit dengan penahanan suspek.
“Ya dan kita masih dalam siasatan secara terperinci dan teliti.
“Pihak polis akan mendapatkan perintah reman terhadap lelaki tersebut mengikut Akta Senjata 1960. Sebelum ini suspek disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Passport 1966,” katanya.
Setakat ini, selain suspek utama, pihak polis telah menahan tiga individu terdiri daripada warga tempatan yang berperanan sebagai pembekal senjata api dan juga pemandu.
Tangkapan pertama membabitkan pasangan suami isteri berusia 42 dan 40 tahun di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor selain seorang lelaki tempatan ditahan di Cameron Highlands, Pahang. -KOSMO! ONLINE














