KUALA LUMPUR– Berbaki dua minggu lagi menjelang hari raya, peniaga-peniaga bazar Aidilfitri berharap jualan mereka di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Masjid India, di sini akan semakin rancak.
Mereka menjangkakan orang ramai akan membanjiri sekitar Jalan TAR dan Masjid India untuk membeli barangan keperluan dan kelengkapan hari raya pada hujung minggu ini dan saat-saat akhir menjelang hari raya.
Ketika ini, jualan bazar Aidilfitri di sekitar Jalan TAR dan Masjid India masih suram meskipun Ramadan sudah memasuki hari ke-17 semalam berikutan orang ramai lebih gemar meninjau harga daripada membeli.
Orang ramai juga dipercayai berkira-kira untuk berbelanja kelengkapan hari raya tahun ini ekoran sesi persekolahan yang baru sahaja bermula dan kemudian disusuli bulan Ramadan yang telah menelan perbelanjaan besar.
Tinjauan Kosmo! di sekitar Jalar TAR dan Masjid India, di sini mendapati, jualan di bazar Aidilfitri masih tidak rancak biarpun gaji penjawat awam serta pekerja swasta sudah masuk.

Seorang peniaga baju Melayu dikenali Fendi, 51, berkata, situasi itu menyebabkan ramai peniaga resah apabila masih banyak kelengkapan hari raya belum terjual.
“Masih banyak stok yang tidak terusik walaupun hanya berbaki dua minggu sahaja lagi sebelum Aidilfitri menjelang.
“Kalau dahulu, saya boleh dapat RM1,000 sehari, tetapi ketika ini hanya RM300 hingga RM400 sehari.
“Itu pun belum tentu dapat balik pusingan modal barangan termasuk harga sewa dan deposit tapak bazar yang mencecah sehingga RM3,000,” katanya.
Menurutnya, bagi mengelakkan kerugian, dia terpaksa menyewa sebuah lagi tapak untuk menjual biskut raya home made sebagai backup plan sekiranya perniagaan baju Melayunya tidak dapat bertahan.
“Baju Melayu ini saya ambil daripada orang, apabila jualan kurang, teruk juga penangannya, jadi saya ambil langkah alternatif dengan membuka perniagaan biskut raya.
“Seperti tahun-tahun sebelum, saya akan sediakan 3,000 balang untuk dijual. Tahun lepas, sampai tak cukup stok sedia ada sebab permintaan sangat tinggi. Harap tahun ini dapat habiskan semua biarpun ketika ini agak perlahan,” ujarnya.

Seorang penjual baju songket dikenali Suhada, 24, pula berkata, dia terpaksa menjual harga yang lebih murah secara dalam talian berbanding harga di kedai kerana kebanyakan pembeli online lebih mengejar harga rendah berbanding kualiti barang.
“Kami bergantung kepada jualan dalam talian untuk terus bertahan dalam perniagaan ini sebab kalau nak harapkan orang walk in ke kedai, ramai yang datang hanya nak tengok-tengok sahaja, tanpa membeli barangan kami.
“Biasa kalau dua minggu lagi nak raya, orang sudah ramai, namun setakat hari ini, jualan sangat rendah. Mungkin orang nak tunggu akhir-akhir Ramadan baru nak membeli-belah kelengkapan raya,” katanya.
Seorang penjual songkok dikenali Putra, 39, berkata, dia masih lagi tenang walaupun jualannya agak perlahan.
“Kebiasaannya, para pelanggan akan menyerbu bazar Aidilfitri di Jalan TAR dan Masjid India pada lima malam terakhir Ramadan untuk dapatkan diskaun besar-besaran dan sudah semestinya nanti penjual tidak akan menang tangan,” ujarnya.














