MELAKA – Dianggarkan sebanyak 330 tan makanan dan minuman bernilai RM3.7 juta tidak habis dijual di 5,564 bazar Ramadan di seluruh negara setiap hari.
Aneka kuih-muih dan air minuman merekodkan jumlah lebihan tertinggi sepanjang Ramadan pada tahun ini.
Perkara itu didedahkan Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia selepas pihak itu menyelamatkan 9,868 kilogram (kg) lebihan makanan dan 14,683kg minuman bernilai RM307,837 sepanjang 13 hari umat Islam berpuasa sejak 12 Mac lalu.
Operasi itu dilaksanakan di 57 bazar Ramadan di seluruh negara.
Menurut Presidennya, Mohammad Amar Masuri, jumlah lebihan makanan dan minuman itu dianggarkan boleh mencecah 330 tan setiap hari sekiranya operasi dilaksanakan di seluruh negara.
“Secara purata lebihan makanan bagi setiap bazar adalah sebanyak 59.4kg membabitkan nilai RM667,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Jelas beliau, mengikut data yang dikumpulkan, kuih-muih mencatatkan jumlah lebihan tertinggi iaitu sebanyak 4,073kg, diikuti nasi berlauk termasuk nasi ayam, nasi tomato, nasi ambeng, nasi beriani serta gulai sebanyak 2,282.5kg.
Selain itu, makanan lain yang tidak habis dijual adalah mi, bihun, kuetiau goreng (1,094kg), juadah sampingan seperti martabak, roti jala, kebab dan roti John (1,012kg), manakala makanan berkuah seperti laksa, mi kari serta bihun sup (776.08kg) dan makanan barat 265.08kg.
“Pihak kami mendapati kuih merupakan juadah paling banyak tidak habis dijual tahun lalu. Keadaan sama masih berlaku pada tahun ini.
“Ini bermakna peniaga kuih-muih perlu lebih peka dengan kuantiti makanan yang dijual yang mana akhirnya akan merugikan mereka sendiri kerana hasil jualan tidak setimpal dengan modal yang dikeluarkan.
“Begitu juga dengan peniaga air balang dan minuman lain seperti tebu, soya, kelapa dan jus buah-buahan. Kalau kita tidak selamatkan, memang makanan dan minuman ini akan dibuang dalam tong sampah,” katanya.

Mohammad Amar memberitahu, Bazar Ramadan Seksyen 19, Shah Alam merekodkan jumlah lebihan makanan tertinggi iaitu 2,282.5kg, manakala Bazar Ramadan Teras Jernang, Selangor pula merekodkan lebihan paling sedikit iaitu 4.24kg.
“Kita percaya antara punca utama lebihan makanan di bazar Ramadan ini berlaku adalah kerana sikap peniaga yang kurang cakna dengan perancangan untuk menyediakan juadah.
“Mereka sepatutnya mengambil kira kuasa beli pengunjung bazar, ramalan cuaca, hari gaji, hari cuti umum dan sebagai sebelum memasak juadah tersebut,” katanya.
Tambah beliau, kesemua makanan itu diselamatkan pihaknya di bawah Program MYSaveFood@Bazar dan akan agihkan kepada golongan memerlukan termasuk pelajar institut pengajian tinggi, Orang Asli, asnaf, gelandangan, anak yatim selain masjid serta surau.
“Tahun ini, kami mendapat maklumat mengenai inisiatif food bank di kampus universiti yang kerap kosong, yang mana ramai penuntut memerlukan bantuan makanan sehingga ada antara mereka yang terpaksa mengikat perut.
“Jadi kami sarankan semua ketua bazar di seluruh Malaysia supaya mereka dapat mengutamakan warga kampus berdekatan sekiranya ada lebihan di kawasan masing-masing.
“Makanan ini perlu diedarkan secepat mungkin kepada golongan sasar. Biasanya ia diberikan kepada mereka yang berada dalam radius lima kilometer dari bazar Ramadan,” ujarnya.
Tambahnya, Program MYSaveFood@Bazar memberikan mesej yang positif terutamanya dalam memberikan kesedaran terhadap kesan pembaziran yang membimbangkan.
“Bahkan, semakin ramai peniaga menyokong dan menyambut baik usaha ini dan berusaha lebih baik dalam merancang jualan pada hari-hari berikutnya,” ujarnya.














