SAUDARA PENGARANG,
Ramadan sepatutnya menjadi bulan mendidik jiwa supaya mengekang nafsu. Nafsu merupakan musuh utama dalam diri kerana kita masih ingin melakukan kejahatan walaupun syaitan dibelenggu pada bulan puasa.
Paling mudah kita lihat nafsu makan. Setiap kali ke bazar Ramadan kita akan rambang mata dan ingin membeli semua yang dijual. Sebab itu ramai juga yang tidak mahu pergi ke situ.
Apa yang wajib dijual di setiap bazar ialah martabak. Ia merupakan makanan wajib bagi sesetengah orang ketika berbuka.
Pihak korporat pula sibuk mengagihkan bubur lambuk. Di mana-mana ada sahaja program mengacau bubur dan ia diberikan secara percuma.
Dua makanan itu kekal popular ketika Ramadan sejak sekian lama tetapi ia tidaklah mustahak kepada sesetengah orang.
Ramadan bukannya bulan pesta makanan sebaliknya kita perlu mengikat nafsu dan menjadi sebenar-benar hamba yang bertakwa.
Sampai bila kita akan menjadikan Ramadan sebagai bulan membazirkan makanan? Umur pun semakin meningkat dan sepatutnya kita sudah beralih kepada puasa ahli khawas dan bukan lagi awam.
Tahan nafsu
Seksyen 16, Petaling Jaya














