IPOH – Sikap ambil mudah dan tidak mahu meneliti sebarang tawaran dibuat scammer inap desa antara faktor menyebabkan mereka mudah menjadi mangsa sekali gus mengakibatkan kerugian mencecah ribuan ringgit.
Pengerusi Persatuan Homestay Perak, Noradidah Mokhtar berkata, antara golongan sering menjadi mangsa penipuan adalah mereka yang terdesak mencari penginapan.
Sehubungan itu katanya, apabila mereka yang mencari inap desa melihat iklan berkaitan di media sosial, mereka tidak akan berfikir panjang selain mudah percaya tawaran dan janji-janji manis diberikan.
“Iklan-iklan itu pula diperoleh scammer melalui media sosial inap desa berkenaan. Mereka salin sahaja bulat-bulat promosi inap desa dari Facebook penginapan itu dan gunakannya untuk menipu orang ramai.
“Apabila mangsa tiba di lokasi inap desa baharulah mereka tahu telah menjadi mangsa penipuan. Seperti biasa, panggilan dibuat kepada scammer tidak akan berjawab,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Dalam pada itu, Pengerusi Homestay Kampung Taman Sedia, Mohammad Zulkepli Daud berkata, kes orang ramai ditipu scammer memang sentiasa berlaku di lokasi tersebut dengan modus operasi menggunakan gambar inap desa orang lain bagi mengaburi mata si pencari.
“Setelah scammer dihubungi individu berminat, mereka akan meminta bayaran dilunaskan secara penuh, yang mana lazimnya operator inap desa tulen akan meminta deposit sahaja.
“Harga dikenakan scammer pula bergantung kepada jenis rumah. Sebagai contoh, jika rumah itu besar, harga sewa yang diminta mungkin kurang sedikit daripada kadar sebenar dan ia menjadi daya penarik kepada orang ramai untuk menyewa,” ujarnya.

Sementara itu, seorang mangsa yang juga penuntut sebuah institusi pengajian tinggi di Pulau Pinang dikenali Hamdan, 21, memberitahu, dia dan rakan-rakannya kerugian ratusan ringgit ditipu scammer minggu lalu.
Katanya, dia bersama enam lagi rakan merancang bercuti di sekitar Ipoh dan Cameron Highlands selama dua hari dan tanpa berfikir panjang terus melunaskan bayaran penuh diminta scammer berkenaan yang dicari rakannya di laman Facebook.
“Kami meneliti iklan ditawarkan itu dan berpandangan ia sesuai dengan bajet disediakan iaitu sekitar RM450.
“Jadi tanpa berfikir panjang, kami terus menghubungi ‘pemilik’ inap desa bagi urusan sewaan. Individu tersebut meminta kami melunaskan bayaran sewa sekali gus kerana katanya ia adalah amalan perniagaannya.
“Malangnya setiba di lokasi inap desa, kami mendapati terdapat orang lain menginap di situ dan usaha menghubungi scammer itu gagal,” ujarnya.
Menurut Hamdan, mereka kemudiannya terpaksa menginap di sebuah inap desa di lokasi berhampiran dengan bajet terhad selain terpaksa berkongsi bilik bersaiz kecil.
Sementara itu, di Kelantan, penyewa sebuah inap desa di Bachok dekat sini merungut apabila kemudahan penginapan yang disedikan tidak sama dengan gambar yang dipamerkan di media sosial.
Mansor Abdullah, 45, berkata kualiti perkhidmatan termasuk tidak menyediakan selimut, tiada peti sejuk, televisyen dan air berkarat sekali gus memberi ketidakselesaan semasa menyewa inap desa ketika cuti Tahun Baharu Cina baru-baru ini.
“Saya pernah tertipu dengan tawaran menerusi platform terkenal terutama hotel bajet dan rumah rehat murah di sini.
“Saya akan menyewa lain-lain inap desa setiap kali pulang ke kampung. Selepas menyewa, baru saya tahu inap desa itu tiada kemudahan seperti yang diiklankan termasuk pintu tandas rosak,” ujarnya.
















