NAMA Bilal Bin Rabah RA sudah pasti tidak asing lagi kepada umat Islam.
Bilal bukan sahaja terkenal dengan keteguhan aqidahnya, malah menjadi pilihan Nabi Muhammad SAW untuk menjadi manusia pertama melaungkan azan dan menjadi muazin eksklusif.
Menurut Pengarah Akademi Muazzin (AM), Hazizul Masdin atau Ustaz Zoul, azan bukan sekadar laungan biasa tetapi merupakan satu syiar dalam Islam.
“Azan kepada sesetengah orang dianggap sebagai panggilan biasa ke masjid atau surau, namun sebenarnya ia adalah peringatan kepada kita untuk menunaikan rukun Islam kedua yang afdal dilakukan secara berjemaah di masjid.
“Malah, setiap kali bulan Ramadan, bilal akan bertugas dua kali ganda daripada biasa.
“Mereka akan menjadi penjaga masa yang paling dipercayai untuk berbuka puasa dan panduan waktu bersahur,” katanya ketika ditemui di AM di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Hazizul yang berpengalaman lebih 15 tahun sebagai muazin di sebuah masjid utama di Selangor berkata, dia mendapat idea menubuhkan akademi tersebut setelah melihat sebahagian bilal masih lagi dibelenggu pelbagai masalah.
Antara masalah dihadapi adalah ketepatan sebutan, lontaran suara dan masalah pernafasan.
Jadi, AM adalah inisiatif bagi menaikkan kualiti bakal bilal dan muazin sedia ada.
Katanya lagi, muazin yang baik perlu diasuh dan dididik sejak usia muda bagi memastikan tugas sebagai penyeru kepada kewajiban menunaikan solat itu lengkap dengan segala ilmu.
“Saya sendiri diasuh menjadi bilal semasa kecil oleh ayah saya dan kemahiran tersebut terus dipertingkat sehingga kini.
“Berdasarkan pengalaman tersebut, saya mendapat idea untuk melahirkan lebih ramai muazin muda yang bukan sekadar tahu melontarkan azan, malah mahir dengan sebutan dan kawalan pernafasan,” katanya.
Ulasnya lagi, bagi memastikan azan pelajar dialunkan lebih merdu dan dinamik dari segi lontaran suara, pihak AM telah melantik guru vokal terkenal iaitu Cikgu Siti Hajar Ismail.
Jelasnya, walaupun ada pihak kurang senang dengan modul vokal tersebut, namun dia berasakan azan wajar dialunkan dengan kawalan suara dinamik dan latihan vokal.

Katanya, latihan itu diyakini mampu meningkatkan kualiti suara seseorang yang ingin menjadi muazin.
“Azan adalah syiar Islam. Saya berpandangan panggilan secara insani mengajak umat Islam menunaikan solat setiap lima waktu perlu ‘menjentik’ rasa di kalbu supaya mereka hadir berjemaah di masjid atau surau,” jelasnya.
Hazizul yang sudah berkeluarga dan mempunyai enam orang cahaya mata berkata, selain di AM, dia turut mengadakan kursus muazin di surau dan masjid sekitar Selangor.
Selain itu, dia sering mengadakan Bengkel Bilal Idaman di Melaka serta ceramah mengenai azan di Surau Al Amin, Lenggeng, Negeri Sembilan.
Katanya, tugas itu dilakukan dengan penuh dedikasi bagi memastikan generasi baharu muazin terus diasuh secara lebih holistik.
“Sehubungan itu, modul di AM adalah lebih mendalam daripada kelas-kelas yang kita adakan di surau dan masjid.
“Di AM, kami menyediakan kursus lengkap antara enam hingga sembilan bulan dengan yuran RM1,000 ke RM1,970 termasuk konvokesyen bagi setiap pengajian.
“Selain modul asas Vokal Azan, modul lain yang diajar adalah Tahsin Lafaz Azan, Asas Tarannum Azan, Bilal Solat Sunat Tarawih, Bilal Solat Jumaat, Bilal Solat Hari Raya dan Asas Berzanji Marhaban,” katanya.
Dalam usaha mewujudkan lebih ramai muazin muda, dia berkata, program Ikon Bilal Muda (IBM) di peringkat daerah di Selangor telah dimulakan sejak tahun 2021.
IBM yang dikhususkan untuk 20 pelajar berusia tujuh hingga 12 tahun itu akan menilai muazin berdasarkan lafaz azan, vokal dan taranum setelah kursus dijalankan.
“Setakat ini seramai 300 alumni dalam kalangan IBM dan AM . Usaha ini akan diteruskan dari masa ke masa.
“Kita gembira ada graduan menjadi bilal dan muazin dengan sijil yang mereka terima. Setakat ini, kita belum mempunyai data yang tepat jumlah mereka,” katanya.
Hazizul yang turut aktif sebagai artis nasyid di dalam kumpulan DVision berkata, tugas untuk menyemarakkan syiar Islam perlu dimainkan oleh semua pihak tidak kira alim ulama mahupun seorang muazin.
Dia berkata, muazin perlu memainkan peranan signifikan sebagai individu yang mengajak umat Islam ke masjid dan surau untuk mendirikan tiang agama iaitu solat.
“Tidak kira kita selebriti atau insan biasa, peranan untuk meramaikan muazin perlu dimainkan oleh semua orang terutama ibu bapa.
“Mereka perlu menggalakkan anak-anak belajar ilmu menjadi bilal yang baik dan secara holistik.
“Syukur alhamdulillah, kita di AM bukan sahaja mengajar anak-anak muda menjadi muazin, malah ada yang sudah berusia lebih 50 tahun turut mendalami ilmu sebagai bilal.
“Ada antara mereka bekerja profesional dan bekas pegawai tinggi kerajaan.
“Semua kerana mereka cintakan ilmu,” katanya.
Sementara itu, seorang bilal muda dari Bukit Jelutong, Muhammad Emir Irsyad Muhammad Khuzaidi, 11, berkata, dia bersyukur kerana diberi peluang mengasah bakat menjadi muazin di masjid berhampiran rumahnya.
“Guru-guru di AM telah mengajar saya untuk mengalunkan azan dengan betul dan tertib.
“Saya juga menjadi wakil sekolah untuk ke pertandingan azan. Saya berharap suatu hari nanti boleh menjadi muazin di masjid negeri dan Masjidil Haram,” katanya.
Bagi bilal Masjid Bandar Rinching Semenyih, Azamuddin Abd. Majid, 57, berkata, ilmu azan yang dituntut selama tiga tahun di AM telah berjaya membantu dirinya meningkat daripada bilal surau kepada bilal masjid.
“Modul yang ada di AM membantu saya dari segi lontaran vokal, pernafasan dan ketepatan bacaan,” katanya.















