ORANG ramai memilih berbuka puasa di masjid kerana lebih mudah dan boleh berjimat.

Masjid sedia RM100,000 kos buka puasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LANGAT – Pertambahan kos untuk untuk menyediakan juadah berbuka puasa dan moreh tidak dapat dielakkan oleh kebanyakan pihak pengurusan masjid pada Ramadan tahun ini berikutan situasi semasa ­peningkatan kos barangan makanan.

Menurut Ahli Jawatankuasa Kebajikan Masjid Jenjarom, Mohd. Muslimen Omar, untuk mengimarahkan Ramadan tahun 1445 Hijrah ini pihak masjidnya telah menyediakan bajet antara RM80,000 hingga RM100,000 bagi kos berbuka puasa dalam tempoh sebulan.

“Kos untuk majlis berbuka puasa, termasuk sumbangan makanan pandu lalu dan moreh setiap hari untuk 100 jemaah kira-kira RM2,500.

“Bajet ini akan berubah dan terus meningkat untuk 10 hari terakhir bulan Ramadan kerana kita turut menyediakan juadah bersahur,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Mohd. Muslimen berkata, pada tahun lalu penyediaan makanan hanya RM2,000 untuk setiap hari dan tahun ini berlaku peningkatan 25 peratus.

“Tahun lepas kita letak peruntukan RM8 satu kepala, manakala pada tahun ini RM10.

“Peruntukan hanya untuk 100 orang dan insya-Allah jika ramai yang datang makanan tetap mencukupi,” katanya.

Tambahnya, selain kos juadah berbuka puasa, pihaknya turut mengadakan program sumba­ngan duit raya pada hujung Ra­madan, agihan kurma, agihan duit anak yatim, kotak keperluan asas asnaf, program pengimarahan remaja tadarus, tadarus wanita dan dewasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN