fbpx
Kawasan ajaran sesat Ayah Pin di Besut.

‘Kami serik, naya kena tangkap pasal Ayah Pin’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BESUT – Ahli keluarga Ayah Pin atau Ariffin Mohammed menafikan dakwaan mengatakan mereka terlibat dalam gerakan untuk cuba menghidupkan semula ajaran sesat ‘Kerajaan Langit’ se­perti didakwa.

Ahli keluarga terdekat Ayah Pin berkata, mereka terbuka untuk disiasat dan akan memberi kerjasama dengan pihak berkuasa.

“Kalau (pihak berkuasa) hendak tahu apa-apa, tanyalah (kepada mereka). Semua (dakwaan sebar semula ajaran Ayah Pin) itu fitnah, saya tidak tahu apa-apa.

“Jangan mudah, orang buat laporan terus ambil tindakan. Kami dulu pernah kena (tangkap), naya,” katanya kepada Ke­tua Polis Terengganu, Datuk ­Mazli Mazlan ketika meninjau penempatan waris Ayah Pin di Kampung Batu 13, Hulu Besut di sini kelmarin.

Terdahulu dia dan ahli keluarga menerima kunjungan ­Mazli serta Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr. Muhammad Khalil ­Abdul Hadi.

Penempatan tersebut yang dahulunya markas ‘Kerajaan Langit’ seluas kira-kira 2.3 hektar dihuni 124 ahli keluarga Ayah Pin.

Wanita itu juga merayu agar disiasat dengan seadilnya kerana sebahagian ahli keluarganya sudah kurang sihat dan uzur atas faktor usia.

Dia mengakui kurang selesa dan sukar menerima kehadiran orang luar ke penempatan mereka demi menjaga privasi.

Sementara itu, Mazli berkata, setakat ini, pihaknya berpuas hati dengan penjelasan ahli keluarga Ayah Pin berhubung dakwaan cubaan menghidupkan semula ajaran sesat tersebut.

Begitupun, beliau menegaskan, pihaknya akan tetap be­kerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu untuk terus melakukan pemantauan bagi mengekang sebarang usaha penularan ajaran sesat terbabit.

Ahad lalu Kosmo! melaporkan umat Islam di Terengganu bimbang dengan dakwaan percubaan untuk menghidupkan semula ajaran sesat Ayah Pin atau ‘Kerajaan Langit’ yang sebelum ini bertapak di Kampung Batu 13, Hulu Besut.

Pejabat Agama Islam Daerah Besut telah mengeluarkan amaran tentang penyebaran ajaran sesat tersebut di masjid-masjid seluruh daerah tersebut pada Jumaat lalu.

Sebelum ini Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Me­layu Terengganu telah mengeluarkan fatwa ajaran Ayah Pin sebagai sesat mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 pada tahun 1997.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN