KISAH-KISAH mengenai makhluk halus atau jin sering kali kita dengar terutama daripada mereka yang kerap masuk ke kawasan hutan.
Bagi Azrin (bukan nama sebenar) seorang yang aktif dalam aktiviti lasak, dia turut mempunyai pengalaman bertemu dengan makhluk halus.
Membuka cerita, dia yang kini berusia 40 tahun memberitahu, kejadian tersebut berlaku kira-kira 20 tahun lalu ketika dia dan rakan-rakannya menyertai aktiviti mendaki gunung di Taman Negara di Jerantut, Pahang.
Katanya, ketika itu, dia dan rakan-rakan daripada kelab rekreasi universiti dalam misi menawan puncak Gunung Tahan yang memakan masa tujuh hari perjalanan pergi dan pulang dari resort di Taman Negara tersebut.
“Pada hari ketiga pendakian, saya dan empat lagi peserta tiba di kawasan tapak perkhemahan agak lewat iaitu kira-kira pukul 8 malam.
“Ini kerana terdapat seorang peserta berjalan agak perlahan akibat cedera.
“Sebagai ketua ekspedisi, saya perlu berada dalam kumpulan akhir kerana perlu memastikan semua peserta selamat tiba di setiap hentian.
“Sebaik tiba, kami terus menjamah makanan yang telah siap dimasak oleh rakan-rakan lain sebelum membersihkan diri di sungai di tepi tapak perkhemahan,” katanya.
Jelas Azrin lagi, selepas mandi dan menukar pakaian bersih, dia terus terlelap di dalam khemah kerana keletihan dan terjaga kira-kira pukul 1 pagi.
Disebabkan belum solat isyak, dia kemudiannya bingkas bangun dan mengambil wuduk sebelum menghamparkan sejadah plastik yang dibawanya di kawasan landai bersebelahan khemahnya.
“Ketika itu, semua peserta sudah tidur di dalam khemah kecuali dua orang jurupandu arah yang masih berbual-bual di tepi khemah mereka.
“Sewaktu ingin memulakan solat, saya berasa agak pelik kerana bulu roma saya mula meremang dan perasaan sedikit gementar.
“Namun, saya tidak menghiraukan perasaan tersebut dan terus memberi fokus kepada solat yang ingin didirikan,” katanya.
Menurutnya lagi, sewaktu melafazkan ‘amin’ pada akhir bacaan al-Fatihah pada rakaat pertama, perasaan meremangnya semakin kuat apabila perkataan tersebut turut dilafazkan beberapa ‘jemaah’ lain.
Dalam keadaan ketakutan, dia cuma mengawal perasaan dengan beranggapan bahawa ada beberapa rakannya turut solat bersama sebagai makmum.
Katanya, keadaan itu berlarutan sehingga selesai empat rakaat dan ketika melafazkan ‘salam’ pada akhir solat, dia masih mendengar ‘makmum’ turut mengikut lafaz itu.
“Selepas memberi salam, saya terus menoleh ke belakang bagi melihat makmum yang ada di belakang.
“Alangkah terkejutnya saya apabila melihat tiada sesiapa pun yang menjadi makmum solat saya.
“Tanpa sempat membacakan wirid dan berdoa selepas solat, saya terus melipat sejadah dan masuk semula ke dalam khemah.
“Sambil berselimut menggunakan beg tidur, saya membacakan beberapa doa dan surah al-Quran bagi meredakan perasaan takut,” katanya.
Jelas Azrin lagi, sepanjang tujuh hari perjalanan pendakian itu, dia tidak menceritakan kisah seram berkenaan kepada sesiapa.
Pada hari terakhir sebelum mereka berangkat pulang, dia sempat menceritakan kejadian yang menimpanya kepada salah seorang jurupandu arah.
Menurut jurupandu arah tersebut, kawasan tapak perkhemahan yang digunakan mereka pada hari ketiga pendakian memang kerap berlaku kejadian-kejadian seperti itu.
“Menurut jurupandu arah tersebut, kejadian yang dialami oleh saya itu pernah berlaku kepada kumpulan-kumpulan pendaki lain sebelum ini.
“Namun, kejadian tersebut dianggap tidak membahayakan kerana apa yang berlaku mungkin disebabkan kehadiran jin Islam ingin turut menyertai solat sebagai makmum.
“Disebabkan itulah kedua-dua jurupandu tersebut masih tidak tidur sewaktu saya mendirikan solat pada pukul 1 pagi.
“Hal kerana mereka ingin memastikan tiada sebarang kejadian di luar jangka berlaku,” ujarnya.
Selepas kejadian tersebut, Azrin akan memastikan tidak lagi solat berseorangan sekiranya berada di kawasan hutan sama ada ketika menyertai aktiviti mendaki ataupun berkhemah.
Ujarnya, ia bagi mengelakkan kejadian seram tersebut berulang lagi sehingga meninggalkan pengalaman yang sukar dilupakan di dalam hidupnya.














