KEMAS, ringkas dan elegan merupakan tiga perkataan tepat menggambar dekorasi kediaman townhouse tiga tingkat di Kota Warisan Sepang, Selangor ini.
Biarpun keseluruhan rumah menampilkan tema putih dan berkonsep minimalis, namun terdapat elemen-elemen kontra diselitkan dalam susun aturnya.
Menurut pemilik rumah, Aqilah Halim, 29, sentuhan warna merah jambu lembut diselitkan pada sebahagian perabot bagi menaikkan seri rumahnya.
“Saya memilih rumah berkonsepkan minimalis dengan tona warna pilihan seperti putih yang membuatkan rumah kelihatan luas.
“Dalam masa sama, saya juga penggemar warna soft pink.
“Jadi, saya memasukkan sedikit elemen pink supaya rumah nampak lebih ceria dan tidak bosan,” katanya kepada K2.
Melangkah masuk ke kediaman seluas 1,850 kaki meter persegi (171.8 meter persegi) itu, ruang dinding rumah serba putih menyambut tetamu.
Selain dinding, langsir, permaidani, meja makan, kabinet makan serta meja kopi turut senada dalam menampilkan imej bersih dan suci kepada rumah tersebut.
Kemudian sentuhan merah jambu lembut diselitkan pada sofa dan couch di ruang tamu, pelindung penyedut asap dapur, jubin mermaid scales dan beberapa barangan hiasan.
Menurut penulis, elemen yang dipanggil show stopper (penarik perhatian) dalam kediaman tersebut adalah candelier mewah di atas meja makan.
Biarpun konsep candelier besar dan mewah bercanggah dengan konsep minimalis, namun suri rumah itu bijak menyeimbangkan suasana agar tata hiasnya tidak nampak kekok.

Aqilah turut menyelitkan warna-warna emas pada pemegang kabinet, sinki, perkakas dapur serta tumbuhan hiasan.
Menurut bekas pramugari itu, candelier tersebut memang memainkan peranan penting kepadanya kerana keseluruhan rumahnya bersifat monotone dan tidak bercorak.
“Rumah saya ringkas, tidak banyak hiasan dinding dan perabot tidak bercorak. Jadi, bila ada candelier ni nampak naik seri sikit.
“Saya memang suka candelier tapi tidak boleh letak banyak-banyak. Nanti serabut dan tidak harmoni pula,” katanya.
Dalam pada itu, wanita yang sering berkongsi tata hiasnya di laman media sosial houseandpink itu sering disoal tentang penjagaan rumahnya yang serba putih.
Katanya, kabinet dapurnya ditempah daripada bahan nyatoh yang diyakini tahan lasak dan tidak mudah kembang apabila terkena air.
Selain itu, Aqilah juga menggunakan alas meja untuk mengelakkan kesan kotor terkena secara terus ke atas meja.
“Setiap kali selepas memasak di dapur saya akan terus mengelap dan kemas semua bahagian dapur. Sama juga dengan meja makan.
“Kalau warna hiasan dalaman berwarna putih ni memang kena bagi lebih perhatian dan penjagaan, tetapi ia memberi saya kepuasan,” ujarnya.
Setakat ini, kos bagi mendapatkan hiasan dalaman rumah yang mula didiami empat isi keluarga pada 2021 itu menelan belanja lebih kurang RM70,000.
Kongsi Aqilah, terdapat perancangan untuk menambah wainscoting pada bahagian dinding dan beberapa aspek di bahagian bilik tidur.
“Memandangkan ini rumah pertama saya, jadi saya hanya design sendiri dan tidak menggunakan perkhidmatan pereka hiasan dalaman luar.
“Dari plaster ceiling dengan konsep coffered ceiling sehinggalah dapur semuanya pilihan sendiri.
“Saya mendapat banyak inspirasi dari internet,” katanya.














