SEMINGGU nak puasa baru-baru ini, sana sini orang bercakap pasal kurma mentega apabila diperkenalkan oleh Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Resipi (kurma dengan mentega) itu diperkenalkan oleh bekas mufti itu difahamkan disukai oleh Rasullullah SAW.
“Dari Abdullah ibn Busr dan Atiyyah ibn Busr, mereka berkata: ‘Rasulullah SAW telah masuk ke rumah kami. Lalu kami menyediakan mentega dan tamar. Baginda menyukai mentega dan tamar. (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah)’,” tulis Zulkifli di platform X.
Disebabkan posting itu, maka resipi kurma dan mentega itu tular dan dikongsi oleh segenap lapisan masyarakat di media sosial.
Apa yang menjadi perdebatan adalah ada yang menyalahgunakan resipi itu sehingga memudaratkan apabila kandungan menteganya terlalu banyak. Awas sepatutnya hanya guna mentega asli bukannya campuran lain.
Facebook Public Health menyatakan kurma itu sendiri mengandungi pelbagai khasiat dan mineral penting serta serat.
Apabila ia di tambah dengan bahan seperti mentega dan diambil dalam kuantititi yang banyak, ia lebih membawa mudarat berbanding kebaikan.
Mentega adalah lemak haiwan yang mempunyai lemak tepu yang tinggi. Ia juga tinggi kalori. Sebiji kurma bersamaan sesenduk nasi. Nak makan untuk rasa rasa tiada masalah, untuk pengambilan kerap dan banyak tidak baik untuk kesihatan.
Seorang doktor terkenal di media sosial menyatakan makan kurma dengan mentega tiada masalah, tetapi ia lebih sesuai untuk bersahur bukannya berbuka puasa.
Kurma itu dinamakan superfood yang tinggi dengan serat dan amat sesuai untuk berbuka puasa dan sahur.
Disebabkan itu, jika kurma ditambah dengan makanan lain kata doktor itu, ia perlu dibuat dengan berhati-hati terutama pesakit batu karang dan buah pinggang.
Lemak tepu dan kalori dalam mentega itu dicampur dengan makanan lain ketika berbuka puasa boleh memudaratkan kesihatan, disebabkan itu makan sunnah itu lebih sesuai untuk bersahur berbanding berbuka puasa.
Pokok pangkalnya, apa yang kita makan perlulah bersederhana ketika berbuka, jika makan sebiji kurma dengan secalit mentega ditambah pula semangkuk bubur lambuk rasanya kalori anda masih terkawal.
Awas jika anda berbuka dengan lebih tiga biji kurma dengan mentega seinci ditambah lagi nasi kandar sepinggan, itu bukannya lagi dinamakan makanan sunnah nabi.
Jika tidak pandai menjaga kalori anda seleloknya kurma mentega dimakan ketika bersahur sahaja. Selesai isi lemak tepu dan kalori.
Khabarnya kurma mentega ini memang dimakan untuk berbuka puasa di negara Arab bagi keluarga yang berkemampuan. -KOSMO! ONLINE














