KESEJAHTERAAN rakyat adalah salah satu matlamat utama bagi sesebuah kerajaan yang baik dan stabil.
Dunia pula kala ini menuju kepada Matlamat Pembangunan Mampan atau lebih dikenali dengan SDGs yang meletakkan kesihatan yang baik dan kesejahteraan sebagai salah satu perkara yang perlu dijadikan agenda besar bagi sesebuah kerajaan stabil.
Agenda Kerajaan Madani juga meletakkan fokus utama untuk membangunkan masyarakat sejahtera menerusi beberapa anjakan besar berkaitan seperti pembudayaan masyarakat madani dan pengukuhan perkhidmatan kesihatan.
Dalam usaha negara ini untuk mengembalikan pertumbuhan ekonomi negara ke trek yang lebih positif dan mampan, pelbagai inisiatif telah dibuat oleh kerajaan kini mahupun yang lepas.
Sememangnya mereka layak diberikan kredit atas usaha yang telah ditunjukkan. Walaupun begitu, terdapat beberapa aspek yang perlu dilihat dengan kritis tanpa mengabaikan aspek optimisma dalam penilaian tersebut.
Isu perlesenan dan penjualan arak di negara ini mula mendapat perhatian beberapa pihak mutakhir ini.
Ada pihak beranggapan ia cumalah perkara yang dipolitikkan, sebaliknya ada yang melihat ia sebagai satu isu besar yang perlu diberikan perhatian.
Pada Disember 2023, berita telah melaporkan kemalangan mengorbankan dua guru di Pulau Pinang. Suspek dalam kes itu dikatakan sedang memandu dalam keadaan mabuk.
Sebelum itu, pada Jun, tiga nyawa penunggang motosikal melayang setelah dilanggar oleh pemanduk mabuk di NKVE ketika mereka sedang berteduh di bawah jambatan di lebuh raya tersebut.
Kes-kes seperti ini sewajarnya dilihat oleh pihak berkuasa untuk memperketat lesen-lesen arak atau menyekat langsung penjualannya.
Persoalannya, adakah pelancongan di Malaysia ini sebenarnya dirancakkan dengan arak atau ada faktor-faktor lain?
Pada awal tahun 2023, perkara berkaitan penjualan arak di kawasan terbuka ini telah menjadi satu isu hangat dalam kalangan ahli Parlimen dan menteri. Menteri
Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berpendapat cadangan menghentikan penjualan arak secara terbuka adalah satu cadangan yang tidak relevan dan negara akan dilihat kolot serta boleh menjejaskan industri pelancongan negara.
Pandangan yang diberikan di atas seolah-olah menggambarkan negara kita ini banyak bergantung kepada penjualan arak seperti mana negara-negara yang terkenal dengan pesta arak seperti Jerman dengan Oktober Fest.
Sedangkan kajian dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2015 menunjukkan bahawa empat faktor utama yang menarik minat pelancong ke Malaysia ialah ekonomi, persekitaran, kebudayaan dan komuniti. Kajian itu tidak menyebut secara langsung sumbangan penjualan arak sebagai faktor tarikan pelancong ke Malaysia.
Dapatan ini turut disokong oleh pelbagai kajian dari dalam dan luar negara yang turut memasukkan beberapa faktor dan polisi penting yang menyumbang kepada perkembangan industri pelancongan di Malaysia.
Faktor yang dimaksudkan termasuklah kestabilan politik, kepelbagaian agama dan budaya, kos perjalanan yang murah, fasiliti kesihatan serta kebolehan komunikasi yang dimiliki oleh rakyat Malaysia.
Namun tidak dinafikan, minuman beralkohol pernah dijadikan sebagai daya penarik pelancong di negara luar.
Bagi menggalakkan pelancongan, Bermuda misalnya, pada pertengahan 90-an lalu, slogan Let Yourself Go telah digunakan bagi menggalakkan penggunaan alkohol ditambah lagi dengan pemberian alkohol percuma kepada pelancong yang tiba di lapangan terbang negara tersebut.
Bagaimanapun, pada tahun 2018, negara tersebut telah melancarkan kempen Changing Attitudes: It’s Not a Rite of Passage bagi mendidik rakyatnya tentang bahaya pengambilan alkohol.
Kempen ini dilancarkan berikutan keterlibatan lebih separuh pelajar di negara tersebut dalam mengambil alkohol sekali gus mendatangkan kesan buruk kepada generasi muda negara itu.
Kisah dari negara kecil tersebut perlu diambil pengajaran bagi setiap negara termasuk Malaysia dalam membina kesejahteraan masyarakat.
Dalam hal berkaitan, Eurostat mengeluarkan statistik yang menunjukkan lebih kurang 37 peratus penduduk di Eropah mengambil alkohol setiap minggu sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap potensi negatif pengambil alkohol kepada kesejahteraan hidup serta kesihatan mental.
Merujuk laporan serta statistik yang dikeluarkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), Amerika Syarikat, pengambilan alkohol berlebihan telah menjadi penyebab kepada kematian lebih 97,000 orang setiap tahun di negara tersebut.
Laporan itu juga menyimpulkan pengambilan alkohol yang kebiasaannya dalam bentuk arak sering dikaitkan dengan tindakan ganas terhadap orang lain, keganasan seksual dan bunuh diri.
Risiko untuk mendapat penyakit kanser juga tinggi terutama pada anggota-anggota berkaitan mulut.
Ternyata negara-negara Barat yang telah dan sedang menghadapi kesan negatif alkohol dan arak ini sedang berusaha untuk mengurangkan masalah yang sedang mereka hadapi sama ada dari segi kos perubatan, kadar pesakit, keganasan domestik dan seksual akibat ketagihan alkohol dan lainnya.
Mengapakah kita yang berada di negara Malaysia yang sememangnya berbudaya ketimuran dan majoriti penduduknya beragama Islam perlu ‘mencari penyakit’ dengan beria-ria mempertahankan penjualan arak atau minuman alkohol dengan dakwaan kemajuan ekonomi dan keterbukaan kepada para pelancong, sedangkan kerugian dan kerosakan akibat perkara tersebut amat jelas lagi bersuluh.
Secara logiknya, kita telah pun bersatu dalam memerangi najis dadah yang boleh merosakkan sistem badan manusia akibat ketagihan dan kecanduan najis tersebut.
Namun, mengapa kita tidak boleh meletakkan alkohol pada timbangan sama dengan melihat kepada kesan negatif yang begitu banyak berbanding kesan positif yang hanya diperolehi secara sementara atau tidak langsung.
Justeru, kebijaksanaan para pimpinan negara amat ditagih dalam menangani hal ini bagi merealisasikan kesejahteraan yang menjadi agenda negara serta salah satu SDG yang diseru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).














