GUA MUSANG – Seorang peniaga di Bandar Utama di sini, mengambil keberkatan sempena kedatangan bulan Ramadan dengan menjual lebih lima tan ikan selayang pada harga rendah iaitu semurah 70 sen bagi setiap sekilogram.
Zuhairi Hashim, 35, berkata, selain ikan selayang, dia turut menjual pelbagai lagi jenis ikan lain pada harga di bawah RM10 sekilogram.
Katanya, jualan murah itu adalah sempena menyambut Ramadan selain untuk membantu meringankan beban mereka yang memerlukan.
“Kami ingin membantu penduduk yang memerlukan. Kami sedia maklum banyak perbelanjaan yang perlu dibuat untuk pembukaan persekolahan anak-anak pada minggu ini.
“Jualan murah bagi pelbagai jenis ikan ini bermula pukul 9 pagi sehingga semua stok habis. Dua kilogram ikan kembung, lolong dan cencaru dijual pada harga RM10,” katanya.
Zuhairi memberitahu, dia juga pernah membuat jualan murah kepada penduduk sekitar sebelum ini dan akan meneruskan usaha itu pada masa akan datang.
“Jika ada rezeki, saya akan meneruskan lagi program seperti jualan ikan murah ini.
“Jika diikutkan, jualan ikan ini tidak balik modal. Namun, apabila memikirkan keadaan masyarakat sekarang yang rata-rata bekerja dengan gaji hari, penoreh getah dan bekerja sendiri, saya hanya berharap usaha ini dapat membantu mereka,” katanya.
Seorang pelanggan, Yusanani Yushak, 38, berkata, dia datang seawal pukul 8 pagi untuk membeli ikan pada harga murah sebaik mengetahuinya menerusi laman Facebook milik Zuhairi.
“Orang ramai sudah menunggu sebelum kedai dibuka dan jualan seperti ini sangat-sangat membantu terutama mereka dari keluarg B40.
“Sekurang-kurangnya kami dapat berjimat untuk membeli lauk lebih-lebih lagi untuk menyambut Ramadan,” ujarnya.














