SEBUT sahaja mengenai kilang, pasti rata-rata tahu mengenai waktu operasinya iaitu 24 jam sehari.
Kebiasaannya, waktu bekerja di kebanyakan kilang dibahagi kepada dua atau tiga syif iaitu pagi, petang dan malam.
Bercerita kepada Panorama, Mariam (bukan nama sebenar) merupakan antara anak muda yang pernah bekerja di kilang selepas tamat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) beberapa tahun lalu.
Kata Mariam, dia sebenarnya mahu mencari pengalaman dan wang simpanan seandainya ditawarkan melanjutkan pengajian di universiti kelak, selain tidak mahu menyusahkan orang tua.
“Alhamdulillah, Allah SWT permudahkan urusan dan saya berjaya memperolehi kerja tersebut. Saya mula bekerja selang beberapa hari selepas itu.
“Cuma sedikit cabaran bagi saya apabila diberikan dua syif dan terpaksa bergilir-gilir siang dan malam mengikut jadual disusun,” katanya.
Beritahu Mariam, ketika awal-awal mula kerja, dia kerap kali diingatkan oleh rakan sekerja lebih senior supaya berhati-hati jika bekerja pada syif malam.
“Dua minggu pertama kerja, semuanya okey. Saya mula belajar banyak perkara termasuk komponen-komponen elektronik yang digunakan serta fungsinya.
“Di sana (kilang) juga saya kenal ramai kawan-kawan baharu termasuk dari negara luar seperti Indonesia dan Bangladesh,” ujarnya yang bertugas di sebuah kilang di kawasan perindustrian terkenal di Pulau Pinang.
Hendak dijadikan cerita, pada suatu hari, kerja terlalu banyak sampaikan Mariam tidak sempat hendak makan malam.
“Kafe di kilang biasanya akan buka sampai pukul 12 tengah malam sahaja.
“Jika kita lambat, biasanya kafe akan tutup. Namun, ruangan untuk pekerja makan tetap dibuka seperti biasa.
“Pada malam itu, saya makan berseorangan kerana membawa bekal dari rumah. Kebetulan memang saya seorang di kafe ketika itu.
“Apabila lihat jam di tangan, waktu ketika itu tepat pukul 2.15 pagi. Pelik juga, tiada orang lain yang makan di situ.
“Seloroh saya, mungkin sebab hujung minggu agaknya. Ramai yang tidak bekerja pada hari tersebut,” katanya lagi.
Sedang leka menyuap nasi ke mulut, Mariam tiba-tiba terdengar bunyi paip air di sinki yang dibuka secara tiba-tiba.
Pada mulanya, Mariam terfikir mungkin ada orang lain sedang mencuci tangan atau sudu.
Namun, paip itu dibuka terlalu lama dan menyebabkan dia berasa agak pelik.
“Pada ketika itu, saya mula terfikir yang bukan-bukan dan teringat pesan rakan sekerja lain sebelum ini.
“Saya memberanikan diri untuk tutup paip tersebut. Selang beberapa saat, paip itu kembali terbuka dan kedengaran air mengalir dengan kuat.
“Apabila menjenguk kembali ke arah paip itu, saya terkejut apabila melihat satu susuk tubuh putih dengan rambut panjang yang kusut sedang mengilai perlahan.
“Tidak menunggu lama, saya terus berlari dan meninggalkan makanan. Tiga hari saya demam disebabkan terkejut,” katanya.
Menurut rakan-rakan senior, lembaga menyerupai pontianak itu sering mengganggu pekerja di situ lebih-lebih lagi ketika sedang berseorangan.
Lebih memeranjatkan, ada yang memberitahu Mariam bahawa pontianak itu merupakan roh pemilik kafe yang mati akibat bunuh diri sekitar 20 tahun lalu.














