SEREMBAN – Seorang pemuda dari Taman Kelana, Lenggeng di sini merasakan dunianya gelap selain selalu membayangkan soal kematian selepas disahkan menghidap kanser tahap empat, dua tahun lalu.
Muhammad Nasrullah Norhisham, 25, berkata, dia pada mulanya tidak merasa dan hanya melakukan pemeriksaan apabila mendapati bahagian tersebut semakin membengkak.
“Saya buat pemeriksaan di klinik kesihatan dan menjalani rawatan lanjut di hospital dengan melakukan imbasan untuk mengenal pasti saiz dan tahap kanser yang dialami.
“Apabila menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) pada Februari 2022, baru saya nampak keseriusan kanser tersebut. Memang terkejut pada awalnya, dan dua bulan selepas itu, saya terus menjalani pembedahan membuang bahagian yang bengkak di Hospital Putrajaya.
“Selepas pembedahan saya juga menjalani dua peringkat sesi kemoterapi dan impak dari menjalani rawatan tersebut menyebabkan pergerakan saya terus terbatas dan tidak lagi dahulu,” katanya baru-baru ini.
Pertemuan itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Anak kedua daripada tiga beradik itu turut berkata, dia terasa sedih sangat selain merasakan masa depannya gelap selepas disahkan menghidap penyakit itu di usia muda.
“Tapi lama-kelamaan rasa sedih itu sudah lali, dan saya perlu reda dengan ketentuan Allah.
“Niat dihati saya untuk menabur bakti pada ibu dan juga keluarga, namun untuk ke arah itu saya perlu terus kuat melawan kanser ini dan doktor yang merawat pernah berkata saya boleh pulih,” katanya.
Katanya, ketika ini dia mendapat bantuan daripada Institut Kanser Negara (IKN) daripada segi sumbangan lampin pakai buang, pembalut perubatan dan susu sebagai minuman khasiat tambahan.
Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun bank Hong Leong Bank miliknya 20151072042 atau menghubunginya di talian 017-668 7498.














