INISIATIF menuju ke arah masa depan yang lebih hijau memerlukan usaha berterusan dan kini seruan itu semakin disahut oleh pelbagai pihak.
Ia merangkumi pelbagai sektor bukan sahaja alam sekitar, tetapi juga keterjaminan makanan, pertanian dan lain-lain yang berteraskan kelestarian.
Bagi menyokong usaha itu, organisasi alam sekitar tempatan, Biji-biji Initiative bakal menganjurkan pameran Alam Fest: Celebration of Sustainability yang bertujuan mengetengahkan pencapaian 31 organisasi alam sekitar dari Perak.
Alam Fest: Celebration of Sustainability ialah acara utama daripada program Environmental Accelerator Programme kelolaan Biji-biji Iniative.
Antara 31 organisasi alam sekitar terlibat ialah The Kenyang Project by Remnant Social Enterprise, Cemerlang Tani dan Nova Liquids.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Biji-biji Initiative, Juliana Adam, acara tersebut juga merupakan tanda sejarah bahawa usaha yang dilakukan oleh organisasi alam sekitar terutama di Perak telah membuahkan hasil.
“Sememangnya pencapaian yang ada setakat ini amat menggembirakan terutama apabila melihat semua organisasi ini berkembang pesat dengan sokongan program Environmental Accelerator Programme.
“Sudah hampir setahun sejak program ini dimulakan dan ia benar-benar mencetuskan inspirasi apabila melihat sejauh mana organisasi ini telah menyumbang kepada kemampanan dalam bidang mereka sendiri dan yang paling penting ialah perjalanan untuk memulihara alam sekitar dan mencipta masa depan yang mampan,” katanya pada majlis pengumuman program Alam Fest: Celebration of Sustainability di Ipoh, Perak baru-baru ini.

Tambah beliau, pihaknya berharap semoga Biji-biji Initiative akan mendapat peluang untuk menyokong lebih banyak inisiatif seperti ini di masa depan dan menjadi pencetus inspirasi buat orang ramai bagi mengikuti jejak penyokong alam sekitar.
Pameran Alam Fest yang bakal diadakan pada 9 Mac depan di Red Mountain Sin Yoon Loong White Coffee, Ipoh merupakan sebuah pentas di mana orang ramai boleh mendapat kesedaran bagaimana setiap individu boleh menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar dalam kehidupan sendiri.
Kongsinya lagi, kesemua organisasi ini merupakan kohort Environmental Accelerator Programme dari tahun 2022 dan 2023. Environmental Accelerator Programme merupakan usaha bertujuan memperkasa tenaga kemampanan di Perak dengan menyediakan sokongan khusus kepada organisasi terpilih dan memupuk kemajuan ke arah masa depan lebih hijau.
Setakat ini juga, sebanyak 31 cadangan projek alam sekitar yang meliputi pelbagai tema seperti pengurusan sisa makanan, pertanian mampan, pemuliharaan alam sekitar, pengurusan plastik, pencegahan pencemaran dan pemuliharaan warisan sejarah telah menerima sokongan khusus daripada Environmental Accelerator Programme.
“Di Biji-biji Initiative, kami sentiasa mencari peluang untuk memupuk dan memperkasa usaha perubahan tempatan ke arah bumi hijau.
“Program pemacu ini telah berjaya mencungkil beberapa idea yang sangat kreatif dan inovatif yang kami percaya akan memberi kesan besar terhadap alam sekitar di Perak.
“Pada pandangan saya, program ini telah mencapai sasarannya dan kami berharap untuk memperluas lagi kesan yang kami bawakan menerusi program selanjutnya di masa depan,” ujarnya.














