PENGGAL persekolahan 2024/2025 akan membuka tirai dua minggu lagi.
Meskipun ramai anak-anak berasa teruja untuk memulakan sesi persekolahan baharu, sudah pasti ada ibu bapa terutama mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana berasa gusar.
Umum tahu bahawa tarikh permulaan persekolahan tahun ini jatuh sehari sebelum 1 Ramadan yang dijangka disambut 12 Mac ini. Ia diikuti dengan Hari Raya Aidilfitri.
Dengan ‘tarikh-tarikh keramat’ yang akan berlaku dalam tempoh sebulan itu, ramai ibu bapa meluahkan rasa bimbang mengenai perbelanjaan yang perlu mereka keluarkan untuk keperluan persekolahan anak, puasa dan sambutan Aidilfitri.
Perbelanjaan membeli alat tulis, pakaian seragam, yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pembelian buku latihan dan pelbagai bayaran berkaitan sekolah adalah perbelanjaan yang perlu diutamakan.
Jika anak darjah satu, anggaran bayaran yang perlu dibuat adalah RM200 seorang bergantung kepada sekolah.
Pada bulan Ramadan pula, ramai kaum ibu terutama di bandar tidak sempat menyediakan juadah berbuka, jadi mereka terpaksa membeli di bazar.
Yang paling ditunggu-tunggu sudah pasti persiapan baju raya. Maka si ibu mula membelek kedai online atau bazar Aidilfitri bagi mencari baju sedondon yang paling cantik.
Bukannya apa, bolehlah dimuat naik ke akaun media sosial masing-masing pada pagi raya nanti untuk tatapan ramai!
Menurut Pakar Kerja Sosial, Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Suhaimi
Mohamad, kebijaksanaan ibu bapa adalah penting untuk menilai semula keperluan dan keinginan anak dengan mengutamakan barangan sekolah yang penting.
“Ibu bapa boleh pantau promosi dan diskaun dalam mengurangkan perbelanjaan. Mereka juga boleh membeli barangan raya dan keperluan sekolah secara berperingkat ikut kemampuan kewangan.
“Ini dapat membantu mengelakkan tekanan kewangan yang besar pada satu-satu masa,” katanya kepada Kosmo!.
Mengulas mengenai persiapan raya, Mohd. Suhaimi berkata, bagi ibu bapa yang memiliki anak ramai dan bersekolah, mereka perlu mengawal diri dengan patuh kepada bajet keluarga.
“Cuba elakkan membeli secara berlebihan. Ibu bapa harus sentiasa beringat akan keperluan untuk persekolahan anak-anak. Sentiasa bersederhana dalam menyambut perayaan.
“Perbelanjaan sekolah dan keperluan asas anak lebih penting daripada keinginan untuk bermewah-mewah,” jelasnya.
Justeru, sebagai ibu bapa yang baik, pilih barangan raya dengan bijak dan pertimbang membeli pakaian yang boleh digunakan semula atau digabung dengan pakaian sedia ada.
“Jika perlu ke bazar Ramadan pula, pilihlah juadah dalam kuantiti yang boleh dikongsi oleh setiap ahli keluarga seperti lauk-pauk.
“Lebih baik sekiranya pergi berseorangan kerana tiada pengaruh daripada pihak lain seperti anak untuk membeli pelbagai juadah berbeza atau anda sendiri sudah pasti enggan mengangkut banyak beg seorang diri,” katanya!
Tidak dapat dinafikan keadaan ekonomi ketika ini memberi cabaran kepada rakyat. Namun, apa yang membezakan kita dengan individu lain adalah kebijaksanaan dalam merancang perbelanjaan keluarga dan berbelanja secara berhemat.














