fbpx
Warga emas berhadapan dengan fasa kehidupan paling mencabar kerana mereka mengalami perubahan dari segi fizikal, emosi dan mental. – Gambar hiasan

K2

Perkenal akta khusus lindungi warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DASAR Kebajikan Masyarakat Negara (DKMN) mula digubal pada tahun 1990 dengan meletakkan warga emas sebagai salah satu kumpulan sasaran yang diberi tumpuan penting.

Ia ekoran daripada peningkatan masalah sosial melibatkan kumpulan tersebut.

Hal ini termasuk penganiayaan dan pengabaian terhadap orang tua sehingga mengganggu kesejahteraan negara.

Dalam matlamat pembangunan mampan ketiga, kerajaan menggariskan beberapa perkara berkenaan kesihatan dan kesejahteraan bagi memastikan kehidupan sihat untuk semua.

Islam juga merujuk masalah sosial yang berlaku dalam kalangan masyarakat dengan istilah fasad fi al-ardh wa yasfiku al-dima’ iaitu kerosakan dan pertumpahan darah di muka bumi.

Lantaran itu, DKMN digubal bagi mewujudkan keadilan sosial dalam masyarakat termasuk dalam kalangan warga emas.

Di Malaysia, laporan terbaharu dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mencatatkan peningkatan sebanyak 20 peratus kes penderaan dan pengabaian ibu bapa oleh ahli keluarga sendiri.

Kajian menunjukkan seorang daripada 100 warga emas di Malaysia pernah ditipu dalam soal kewangan.

Penipuan ini dilakukan oleh ahli keluarga sendiri atau melibatkan sindiket.

Golongan ini sering menjadi sasaran berikutan mereka dianggap rentan dan tidak lagi berdaya untuk melawan.

Perkembangan teknologi yang semakin pesat membuatkan mereka ketinggalan dan kurang pengetahuan tentang sindiket penipuan baharu .

Sehingga artikel ini ditulis, masih belum wujud apa-apa pindaan peruntukan undang-undang khusus berkaitan warga emas.

Turut dilaporkan bahawa pada 2019, satu rang undang-undang warga emas dicadang untuk dibentangkan di Parlimen pada awal tahun 2021.

Pun begitu, usaha awal Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) membentangkan rang undang-undang warga emas di Parlimen nampaknya belum berjaya dilaksanakan.

Dari aspek hak warga emas, masih belum ada undang-undang khusus yang dipinda bagi maksud ini sebagaimana Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611).

Peruntukan undang-undang yang sedia ada bersifat umum ke atas semua lapisan masyarakat tanpa memberi perlindungan khas ke atas warga emas.

Sebagai contoh, perkara 5 hingga 13 Perlembagaan Persekutuan menyentuh tentang aspek kebebasan diri, kesamarataan undang-undang dan sebagainya secara umum tanpa menyebut secara khusus golongan warga emas.

Aspek perundangan amat penting bagi memastikan penguatkuasaan dalam membanteras kes penderaan dan pengabaian ini dengan sistematik.

Namun begitu, sejauh manakah perundangan sedia ada dapat memastikan perlindungan warga emas di Malaysia terjamin?

Cadangan kerajaan untuk memperkenalkan akta khusus bagi melindungi kebajikan warga emas amat tepat pada masanya memandangkan jumlah golongan itu semakin bertambah saban tahun.

Hal ini ekoran kes penderaan dan pengabaian warga emas semakin meningkat serta masih terdapat banyak lagi kes yang tidak dilaporkan.

Selain menjamin kebajikan warga emas di negara kita, langkah ini juga sebagai persediaan Malaysia menjadi negara tua menjelang tahun 2035.

Bagi tujuan ini, Malaysia boleh mengambil pendekatan untuk menggubal Akta Warga Emas seperti Akta Kanak-Kanak 2001 yang khusus kepada kanak-kanak.

Hal ini adalah penting untuk mengawal kes penderaan dan pengabaian warga emas pada masa hadapan.

Satu cadangan agar Malaysia menetapkan had umur warga emas yang khusus di dalam undang-undang turut boleh dilakukan.

Ini kerana, tiada penetapan dan kesepakatan tentang berapa had umur warga emas itu sama ada di Malaysia mahupun di luar negara.

Sebagai contoh, negara maju meletakkan had umur warga emas adalah 65 tahun dan ke atas memandangkan kehidupan golongan itu pada usia tersebut masih sihat dan bertenaga.

Di samping itu, KPWKM mengkategorikan warga emas kepada tua muda, tua-tua dan paling tua.

Kategori ini dibuat bagi memudahkan pendekatan aktiviti sesuai dengan lapisan usia yang berbeza. Sementara DKMN pula meletakkan umur 60 tahun dan ke atas sebagai kategori warga emas.

Kerajaan juga boleh mengambil pendekatan untuk menyediakan pelbagai insentif kewangan bagi majikan yang menggaji atau mengekalkan pekerja berusia.

Langkah ini merupakan satu perkara yang boleh dilaksanakan memandangkan ramai warga emas pada masa kini masih sihat serta boleh menyumbang tenaga dan buah fikiran.

Hal ini juga mungkin boleh membantu dalam perkembangan program keselamatan sosial di negara kita kerana kajian menunjukkan pendapatan persaraan kebanyakan warga emas tidak mencukupi.

Ditambah pula dengan keadaan Malaysia yang sedang menghadapi inflasi, sudah pasti program keselamatan sosial sebegini dilihat lebih komprehensif.

Warga emas berhadapan dengan fasa kehidupan yang paling mencabar kerana mereka mengalami perubahan dari segi fizikal, emosi dan mental.

Sekiranya mereka tidak dibantu dari segi makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal, ia akan menjejaskan tahap kualiti hidup serta kesihatan.

Oleh itu, penyediaan mekanisme-mekanisme ini adalah untuk memastikan kemaslahatan setiap umat terjaga dan kemudaratan dapat dihindarkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN