GEORGE TOWN – Cuaca panas dan kering ketika ini memberi rezeki berganda kepada golongan peniaga minuman tradisi rakyat di negeri ini iaitu ais tingkap atau air sarbat apabila mampu terjual sebanyak 800 bekas sehari pada hujung minggu.
Malah, pada hari-hari biasa, minuman yang dikatakan mampu membantu menghilangkan dahaga dan meredakan suhu badan itu terjual sehingga 500 bekas sehari.
Pengusaha Ais Tingkap Penang, Mohd. Almi Seeni Mohamed, 37, berkata, jualan ketika musim panas lebih meriah dan mereka memerlukan lebih 80 biji kelapa sehari untuk menghasilkan air sarbat bagi memenuhi permintaan pelanggan.
“Kami kekalkan resipi asli air sarbat yang menggunakan air kelapa segar sebagai ramuan utama di samping pelbagai ramuan herba lain seperti getah anggur dan selasih yang mampu menyejukkan badan,” katanya yang berniaga di Lebuh Tamil di sini semalam.
Menurut Mohd. Almi, seiring dengan perubahan masa, mereka turut menambah pelbagai perisa lain di dalam air ais tingkap antaranya laici dan lemon bagi memenuhi cita rasa pelanggan.
“Sebelum ini, ada pelanggan bertanya sama ada, air sarbat ini boleh ditambah dengan buah-buahan lain seperti laici atau lemon.
“Selepas mencuba (campuran laici) ternyata ia bertambah sedap serta sesuai diadun bersama dengan air kelapa,” ujarnya.
Tambahnya, air berkenaan dijual bermula RM3.50 hingga RM4.50 sebekas.
Malah, bagi memudahkan pelanggan kata Mohd. Almi, pihaknya turut menjual ais sarbat dalam bentuk botol.
“Selain menjual air sarbat, pelanggan juga boleh menikmati minuman lain seperti cendol yang turut ditawarkan di gerai kami,” katanya














