fbpx

Sindiket kumpul minyak diesel bersubsidi di premis haram diserbu KPDN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota penguat kuasa KPDN memerika tangki IBG di premis haram yang diserbu di Kawasan Industri IBG di Ipoh semalam. - Foto IHSAN KPDN / KOSMO!

IPOH – Sebuah premis yang dijadikan pusat pengumpulan minyak diesel haram disyaki bersubsidi di Kawasan Perindustrian IBG di sini diserbu sepasukan pegawai dan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak kira-kira pukul 12.29 tengah hari semalam.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan itu adalah hasil risikan yang dijalankan penguat kuasa KPDN Perak selama dua minggu ke atas sebuah lori tangki minyak yang aktif beroperasi di sekitar Ipoh.

“Hasil penjejakan yang dilakukan ke atas lori tangki minyak ini mendapati, lori itu tidak mengambil minyak melalui sumber yang sah iaitu sama ada mengambil minyak dari depoh atau pembekal industri berlesen.

“Penjejakan kali ini telah berjaya mengesan satu lokasi penyimpanan lori tangki tersebut. Ketika serbuan dilakukan Penguat Kuasa KPDN turut berjaya menemui empat buah tangki IBC (Intermediate Bulk Container) yang di dalamnya terdapat cecair disyaki minyak diesel bersubsidi,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, dipercayai premis haram itu dijadikan tempat pengumpulan minyak yang dipercayai dikutip dari stesen-stesen minyak di sekitar Ipoh dan dikumpulkan di premis terbabit.

Kamalludin berkata, modus operandi sindiket itu adalah dengan mengutip minyak diesel yang dibeli di stesen minyak, dikumpulkan kemudian dipindahkan ke lori tangki yang akan membeli minyak tersebut sebelum menjual semula kepada pengguna industri dengan harga industri dan mengambil keuntungan berlipat ganda.

“Seorang lelaki tempatan disyaki pemandu lori berumur 35 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut. Pemeriksaan keseluruhan premis telah mendapati anggaran 3,000 liter cecair yang disyaki minyak diesel di dalam lori dan tangki IBC.

“Kesemua cecair bersama lori tangki dan empat tangki IBC dan peralatan lain telah disita. Jumlah nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM48,180,” katanya yang turut memberitahu, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI