KEPUTUSAN melibatkan diri dalam dunia perniagaan minyak aromaterapi sejak sedekad lalu membolehkan wanita itu menikmati ‘kemanisan’ sebenar.
Menurutnya, segala ilmu dan pengalaman yang ditempuh selama bergelar usahawan menjadikannya lebih komited membantu ramai individu menjalani jalan hidup sihat melalui terapi minyak aromaterapi.
Bagi usahawan pati aromaterapi, Norhidawati Abdul Aziz, 44, dia kini begitu komited dalam memberikan sokongan serta bantuan kepada sesiapa sahaja yang tertekan sama ada disebabkan kewangan atau emosi.
Dia yang juga pengasas syarikat OilyLicious Sdn. Bhd. berkata, inisiatif dilakukannya itu adalah untuk memberi didikan kepada orang ramai tentang teknik penggunaan pati minyak aromaterapi serta ‘mind set’ yang betul.
Menurutnya, teknik penggunaan minyak aromaterapi yang betul dapat membantu seseorang itu mencapai tahap kesihatan maksimum, sekali gus mengawal masalah kesihatan mental.
“Kita lihat zaman sekarang ramai orang terutamanya golongan usahawan berdepan masalah kesihatan mental.
“Jadi, saya tekad untuk membantu memberikan pendedahan bukan sahaja kepada usahawan, malah orang ramai di luar sana tentang cara serta teknik penggunaan pati aromaterapi dengan betul.
“Sekiranya menggunakan teknik yang betul, insya-Allah mereka dapat mencapai tahap kesihatan mental serta emosi terbaik lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan,” katanya membuka bicara.
Jelasnya lagi, dia menggunakan semua platform yang ada untuk memberi kesedaran mengenai kebaikan menggunakan pati aromaterapi kepada orang ramai.

Tambah Norhidawati, pihaknya juga telah menyediakan pelbagai program sokongan buat golongan usahawan di bawah bimbingannya bagi membantu mereka terus bangkit dan bergerak ke hadapan.
“Kami juga menyediakan beberapa program sokongan sebagai usaha untuk menguatkan serta menenangkan emosi para usahawan yang terjejas.
“Kami percaya hanya dengan emosi yang tenang, kita dapat berfikir secara lebih rasional dan membuat keputusan bernas serta tepat dalam merangka strategi pemulihan perniagaan,” katanya.
Ditanya mengenai keberkesanan dan kelebihan menggunakanan minyak aromaterapi, Norhidawati berpendapat, masih ramai yang tidak tahu pati minyak aromaterapi mampu merangsang serta memberi ketenangan minda kepada pengamalnya.
“Jadi, pihaknya mengambil inisiatif untuk berkongsi ilmu dengan menjalankan beberapa roadshow di seluruh negara bagi memberi sokongan kepada wanita terutama para usahawan.
“Salah satu kaedah yang dibuat sewaktu roadshow adalah membantu para usahawan memperkuatkan lagi minda serta emosi dalam membantu mereka untuk terus bertahan.
“Program sokongan yang dilakukan ini akan diteruskan bagi membantu lebih ramai usahawan di seluruh negara,” katanya.
Tidak sekadar membantu dan komited dalam menjalani gaya hidup sihat, dia juga fokus melahirkan ramai usahawan wanita di bawah bimbingannya.
Terbaharu, satu majlis telah diadakan di sebuah dewan di Shah Alam, Selangor yang dihadiri lebih 150 orang usahawan bimbingan Norhidawati.
“Hampir 90 peratus usahawan di bawah bimbingan kami adalah wanita yang tekad mahu meningkatkan taraf ekonomi dan menjalani gaya hidup sihat melalui terapi minyak pati aromaterapi.
“Sebagai pemimpin, sudah menjadi tanggungjawab saya untuk membimbing mereka seikhlas hati bagi memastikan impian mereka tercapai,” katanya.














