Penulis terpempan kala melihat poster larangan penggunaan dawai kokot dalam penyediaan makanan yang dikongsikan seorang ahli keluarga di grup WhatsApp minggu ini.
Mana tidaknya, beberapa hari sebelum itu penulis sendiri berdepan insiden tersebut semasa membeli makanan. Macam tahu-tahu pula ya.
Bila diamati, rupa-rupanya poster terbaharu itu dikeluarkan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan. Penulis kurang pasti pula kalau isu ini tiba-tiba jadi hangat semula kerana ada kes-kes terkini dilaporkan.
Apa yang pasti perkara itu memang mendapat perhatian kerana telah dikongsikan ramai dan agensi berita Bernama turut mengeluarkan infografik mengenainya kelmarin.
Mungkin juga kerana ‘musim bazar Ramadan’ akan menjelang tidak lama lagi. Sebagai peringatan barang kali.
Mengimbau kejadian beberapa hari lalu, penulis yang tinggal di Cheras, Kuala Lumpur membuat pesanan nasi kerabu menerusi satu platform online. Bila sampai, didapati nasi kerabu itu didatangkan dengan ramuannya seperti ulaman, kuah dan sambal kelapa parut diasingkan dengan peket plastik yang ‘distapler’ sekali.
Mungkin peniaga itu fikir cara itu lebih kemas, sebaliknya pengguna yang cuak. Nak dijadikan cerita, semasa meleraikan dawai kokot itu, tiba-tiba ia termasuk ke dalam peket yang mengandungi ulaman.
Memang susah untuk ditemui semula kerana sayuran seperti kubis, bunga kantan dan lain-lain itu sudah dihiris nipis, memang lebih kurang sama dengan dawai dan sangat membahayakan.
Penyudahnya memang tak disentuh bahagian ulaman tersebut setelah mata berpinar mencari dawai kokot yang ‘lesap’ dalam hirisan halus sayur.
Penulis tidak tahu sama ada peniaga itu tahu atau tidak bahawa perbuatan tersebut sebenarnya satu kesalahan undang-undang yang boleh didenda sehingga RM100,000 atau sengaja ingkar.
Pada tahun 2022, ekoran tular pembungkusan makanan menggunakan paku, bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memberi amaran kepada para peniaga bahawa penggunaan bahan seperti paku dan dawai kokot untuk membungkus makanan boleh menyebabkan kecederaan serius jika termasuk dalam makanan dan ditelan.
Beliau menyatakan perbuatan itu menyalahi undang-undang mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.
Bahkan hukuman lebih berat boleh dikenakan sekiranya bahan itu ditemui dalam makanan mengikut Akta Makanan 1983. Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.
Penulis harap agar para peniaga menghentikan segera pembungkusan atau penyediaan makanan menggunakan dawai kokot. Jika tertelan, ia boleh mencederakan saluran makanan, tekak tercalar sehingga bernanah, batuk berterusan dan macam-macam lagi mudarat menanti.
Pengguna tidak mahukan ‘zat-zat besi’ yang membahayakan ini dalam makanan dan peniaga juga pasti pedih menerima kenyataan didenda atau dihumban ke penjara gara-gara stapler.
















