RANTAU PANJANG – Ejen nikah di Narathiwat akan menguruskan pernikahan rakyat Malaysia yang ingin berpoligami dengan mengenakan caj sebanyak RM3,500.
Jelas lelaki yang ingin dikenali Azrul, upah itu meliputi urusan semua perkara mengikut prosedur yang betul dan bukannya nikah sindiket.
“Pegawai kanan dan pasangan poligaminya membayar sebanyak RM3,500 kepada saya untuk semua urusan itu. Kerja-kerja ini dilakukan mengikut prosedur dan bukannya cincai,” ujarnya.
Menurut Azrul, trend poligami di Siam dalam kalangan pegawai kanan kerajaan bukan satu perkara yang mengejutkan kerana mereka juga mempunyai rangkaian terutamanya rakan-rakan sejawatan yang berbuat perkara sama.
Katanya, sepanjang menguruskan perkahwinan di Siam, dia mengakui bahawa golongan pegawai kanan kerajaan takut sekiranya rahsia poligami mereka terbongkar kepada isteri atau masyarakat.
“Ada banyak kes yang saya urus, kes poligami mereka diketahui isteri pertama. Pertengkaran dan pergaduhan berlaku pada awalnya, namun keadaan semakin reda apabila isteri pertama mula menerima takdir mereka sudah dimadukan.
“Selain itu, status suami mereka yang berjawatan dalam kerajaan atau syarikat swasta menyebabkan isteri pertama tidak mahu memanjang isu poligami itu. Isteri pertama kebiasaannya tidak mahu menuntut cerai kerana suami mereka pastinya memberikan nafkah yang lebih selepas berpoligami,” katanya.
Seorang lagi ejen nikah, Pok Sin, 40, berkata, ejen kebiasaannya menetapkan pasangan wanita perlu membawa wali mereka sendiri bagi memudahkan urusan akad nikah tanpa menggunakan wali hakim di sana.
Menurutnya, jika tiada surat daripada wali mereka, maka wali hakim digunakan untuk pernikahan di pejabat agama di Narathiwat.
“Kebanyakan pasangan poligami kepada pegawai kanan ini terdiri daripada wanita muda berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an malah antaranya merupakan janda.
“Pernikahan di Siam adalah sah di sisi agama, namun pasangan perlu mendaftarkan perkahwinan mereka di negara ini dengan segera bagi mengelakkan sebarang kesulitan sekiranya mempunyai zuriat di kemudian hari,” ujarnya.
Pok Sin memberitahu, selaku ejen yang menguruskan urusan poligami pegawai kanan itu, dia dan beberapa rakannya juga berperanan sebagai saksi perkahwinan pasangan tersebut.
Menurutnya, kebanyakan pegawai kanan yang dikenalinya tidak mempunyai masalah kewangan apabila memberikan upah atau wang lebih kepada ejen yang memudahkan urusannya untuk berpoligami.
“Golongan pegawai ini dilihat pemurah. Bayaran untuk menguruskan perkahwinan kebiasaannya RM3,500 hingga RM4,000, tetapi ada antara mereka membayar RM5,000 kepada saya.
“Apa yang saya lihat, mereka ini takut dengan isteri pertama. Jadi, mereka memilih untuk berpoligami di Siam dan kebanyakan perkahwinan mereka bertahan lama.
“Jika mahu bercerai dengan isteri kedua, mereka perlu menghubungi saya kerana sebagai saksi dan menyimpan kebanyakan dokumen pernikahan mereka,” ujarnya.














