RATU terjun negara, Datuk Pandelela Rinong Pamg mengakui terdapat ‘entiti’ mengganggu skuad terjun negara dan kesannya terjadi apabila gagal merekodkan keputusan cemerlang pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar minggu lalu.
Bagaimanapun, Pandelela tidak mendedahkan secara terperinci mengenai kekacauan yang melanda kem terjun negara, tetapi mengakui apa yang terjadi berada di luar jangkaan mereka.
Menurutnya, dia akan membawa masalah itu kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk membincangkan perkara tersebut kerana ia juga dilihat boleh menjejaskan penerjun-penerjun remaja.
“Ada perkara yang tidak kena berlaku dan itulah yang terjadi. Perkara itu telah menjadi tambahan kepada semua yang berlaku.
“Ada yang berlaku berada di luar kawalan, yang mana kami boleh kawal, kami cuba untuk mengawalnya. Ada bendalah yang berlaku di luar jangkaan, hendak diperjelaskan nanti panjang cerita. Apa yang saya boleh katakan ada perkara luar jangkaan yang berlaku dan nasib tidak menyebelahi kami.
“Boleh dikatakan hampir kesemua kami terkesan dengan perkara ini. Dia bukan sahaja mengganggu penerjun senior, begitu juga dengan atlet remaja.
“Lebih baik saya bincangkan perkara ini secara dalamanlah,” jelas Pandelela yang ditemui di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Pandelela pernah beraksi dalam empat Sukan Olimpik bermula Beijing 2008 sebelum mencipta sejarah menjadi atlet wanita pertama negara memenangi pingat iaitu gangsa menerusi acara 10 meter (m) platform individu pada edisi London 2012.
Pandelela melakukan kejutan apabila berjaya meraih pingat perak bersama Cheong Jun Hoong menerusi acara 10m platform seirama wanita di Rio 2016.
Kegagalan di Doha menjadi tamparan hebat apabila Pandelela yang berada dalam senarai atlet program Road To Gold terlepas peluang ke Paris 2024, begitu juga Nur Dhabitah Sabri.
Setakat ini, hanya seorang atlet terjun negara iaitu Bertrand Rhodict Lises yang mengesahkan tiket ke Olimpik Paris dalam acara 10m platform individu.














