fbpx
Nabilah sedang meletakkan batu tungku di badan pelanggannya di Mama Wellness baru-baru ini.

Mama Wellness bantu segar, pulihkan ibu berpantang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Bidang perbidanan tradisional lazimnya dipelopori oleh orang lama secara turun temurun dan jika tidak diwarisi oleh ge­nerasi seterusnya maka amalan tersebut berkubur ditelan peredaran zaman.

Penglibatan golongan muda kini juga semakin berkurangan, hanya mereka yang berminat sahaja mahu menerokainya tetapi cara perubatan yang diolah mengikut perubahan gaya hidup masyarakat.

Namun, berbeza dengan Mama Wellness, pusat berpantang dan spa yang dimiliki oleh pengasasnya Nabilah Husain Marican, 31, yang masih mengekalkan perkhidmatan perbidanan tradisional tetapi mampu memenuhi keperluan pelanggan sekarang.

Bagi mencapai misi tersebut, usahawan ini secara berdikit-dikit belajar daripada peringkat asas hinggalah kepada peringkat profesional.

Pada awalnya, beliau telah mempelajari ilmu perbidanan tradisional termasuk teknik urutan dan rawatan wanita selepas bersalin daripada seorang bidan yang bertauliah selama enam bulan.

“Banyak yang saya pelajari daripada bidang itu, antaranya teknik urutan wanita berpantang, mandian herba, lulur, berbekam, bertungku, bertangas dan teknik urutan lain yang saya rasakan begitu bernilai dan sukar diperoleh dari mana-mana buku,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di premisnya di Simpang Ampat di sini baru-baru ini.

Menurut graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Forensik, Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kelantan itu, meskipun latar belakang pendidikannya tidak selari dengan kerjayanya kini, namun ia tidak dijadikan sebagai sebuah alasan yang membantutkan semangatnya untuk berjaya dalam bidang tersebut.

“Sebelum belajar di USM, saya pernah dapat tawaran belajar di Universiti Al-Azhar, Mesir sekitar 2012, namun terpaksa menolak disebabkan kekangan kewangan.

“Meskipun agak kecewa pada mulanya, saya berfikiran positif dan teruskan perjuangan dengan mengikuti kelas pemasaran dan belajar ilmu perbidanan tradi­sional serta menimba ilmu dengan orang-orang berpengalaman.

“Dalam masa yang sama, saya tambah baik ilmu sedia ada dengan mengikuti pelbagai kursus yang disediakan agensi kerajaan terpilih dan persendirian,” jelas beliau.

Inisiatif Nabilah yang memiliki sijil kemahiran dalam Urutan Terapi Tahap Tiga Sijil Kemahiran Malaysia, Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia itu tidak terhenti di situ sahaja tetapi terus mempersiapkan diri dengan menghadiri bengkel-bengkel persendirian termasuklah bengkel urutan dan terapi sehingga berjaya memperoleh sijil terapi penjajaran badan (body alignment therapy), urutan asas dan regangan otot ‘proprioceptive neuromuscular facilitation’ (PNF) pada tahun 2022.

“Tiada istilah menyesal (tidak bekerja mengikut kelayakan) ke­rana itu juga ilmu dan ia berkait rapat dengan kehidupan seha­rian kita.

“Saya tidak pernah menyesal mencari ilmu daripada jurusanyang diambil di kampus dulu sebab apa yang saya peroleh kini mampu memberi panduan dalam kehidupan,” katanya.

Nabilah menerangkan, Mama Wellness dimulakan dengan tawaran perkhidmatan merawat wanita yang sedang berpantang dari rumah ke rumah sejak tahun 2020 dan hasilnya cukup membanggakan sehingga jumlah pe­langgannya bertambah dari semasa ke semasa.

Testimoni positif daripada mulut ke mulut para pelanggannya membolehkan keyakinan pelanggan semakin kukuh terhadap ‘kuasa tangan’ ibu kepada seorang cahaya mata ini sehinggalah beliau mengembangkan perniagaannya dengan membuka pusat rawatan sedia ada ini pada tahun 2022.

Beliau percaya, perniagaan berkaitan perkhidmatan ibu lepas bersalin bernilai tinggi dan menawarkan permintaan yang tinggi kerana pelanggan masih mencari rawatan tradisional ke­rana ia terbukti memberi kelegaan kepada tubuh badan secara semula jadi.

“Jika kita lihat zaman nenek moyang yang merawat ibu berpantang, mereka banyak menggunakan akar kayu dan dedaun herba untuk merawat masalah angin atau sengkak pada rahim, kembang urat dan sebagainya.

“Dan bagi saya, jika dipraktikkan teknik rawatan secara teliti dan mendalam, ia mampu memberi manfaat kepada ibu yang berpantang untuk jangka masa panjang,” katanya yang turut memperoleh bantuan modal perniagaan dari geran Zakat Pulau Pinang sebanyak RM12,000.

Anak ketiga dari empat ­beradik itu berkata, pihaknya turut mengeluarkan produk mandian herba yang terdiri daripada dedaun herba untuk mereka yang mempunyai masalah angin dalam badan.

“Dari segi perancangan masa depan saya berhasrat untuk membuka sebuah cawangan di Kuala Lumpur kerana sudah mempunyai pelabur, namun terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu kerana ingin memperkukuh pengurusan perniagaan ini terlebih dahulu.

Nabilah menjelaskan, Mama Wellness yang dibuka setiap hari bermula pukul 9 pagi sehingga 7 malam itu menawarkan pelbagai pakej rawatan dan spa terma­suklah pakej berpantang, urutan tradisional, akupunktur, rawatan resdung, mandian herba, berbekam, lulur dan sauna yang ditawarkan pada harga mampu milik kepada pelanggan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN