SAUDARA PENGARANG,
Usaha berterusan pihak berkuasa seperti polis, imigresen dan lain-lain melakukan operasi bersepadu menggempur sarang warga asing perlu diteruskan dari semasa ke semasa.
Ada kawan yang mempunyai pekerja warga asing memberitahu, mereka sudah takut untuk berkumpul dan membuat sesuka hati kerana risau akan diangkut lagi.
Apa yang pasti, warga asing ketika ini cukup takut melihat trak imigresen kerana bimbang akan ditangkap walaupun mempunyai dokumen yang sah.
“Ada dokumen atau tidak, tangkap dulu. Depoh nanti cerita,” adu pekerjanya.
Saya melihat apa yang dilakukan ini berada pada landasan yang betul kerana sudah terlalu lama warga asing membina koloni di satu-satu kawasan hingga ada yang berani mencetak pasport palsu.
Sememangnya warga asing suka tinggal dan mencari rezeki di Malaysia kerana mereka ini rajin dan sanggup membayar harga yang mahal untuk permit dan sebagainya demi menghantar wang ke kampung halaman.
Cuma, operasi perlu dilakukan secara profesional dan jangan mengambil kesempatan di atas kelemahan mereka kerana warga asing juga manusia.
TEGAS BERTEMPAT,
Kuala Lumpur














