ADAKAH Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Kuala Lumpur City bakal senasib dengan Kelantan FC?
Persoalan itu mula timbul selepas kedua-dua pasukan dilaporkan sedang dihimpit masalah tunggakan gaji walaupun sudah diberikan lesen untuk membolehkan mereka bermain di Liga Super musim depan.
Andai tindakan penarikan lesen terpaksa dibuat, dua pasukan yang sarat dengan pelbagai kejayaan di pentas domestik mungkin ‘turun pangkat’ sekadar bermain di pentas lebih rendah iaitu di saingan Liga M3.
Ahli Lembagai Pengarah Liga Bola Sepak Amatur (AFL), Syed Yazid Syed Omar, berkata pihaknya akan terus komited untuk memastikan pertandingan Liga M3 dapat dilangsungkan dengan baik dan mahu mengelak dipalit status ‘loji kumbahan’ kepada pasukan bermasalah.
“Kalau ikutkan proses, mana-mana pasukan yang mahu sertai Liga M3 harus dipersetujui oleh pihak penganjur. Begitu juga dengan Kelantan FC, mereka kena selesaikan dulu segala hutang lama sebelum dibenarkan turut serta.
“Pada dasarnya, apa yang MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) buat, AFL juga buat. Jadi, kami di AFL akan lebih teliti sebelum membuat sebarang keputusan. Jika segala hutang dapat diselesaikan, AFL boleh terima,” katanya.
Dalam laporan sebelum ini, para pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC menuntut tunggakan gaji mereka selepas tarikh perjanjian pembayaran gaji pada 31 Januari sudah berlalu tanpa ada tanda-tanda ia akan diselesaikan.
Sementara itu, pemain pertahanan KL City, Nazirul Naim Che Hashim menerusi laman sosialnya memberi gambaran skuad The City Boys masih berhutang dengannya termasuk kegagalan pasukan mengambil berat tentang kebajikan pemain.
“Tersidai juga. Tiada gaji, tiada pengurusan datang tengok. Lepas tangan macam itu saja,” menurut keterangan dalam gambar IG Story Nazirul Naim yang menunjukkan sedang memakai pakaian Hospital Kuala Lumpur selepas jalani pembedahan lutut.














