PETALING JAYA – Bakal haji meluahkan kegembiraan apabila mula menerima surat panggilan Tabung Haji untuk menunaikan haji tahun ini.
Beberapa bakal jemaah menitipkan kesyukuran apabila menerima khabar gembira itu minggu lalu.
Seorang pesara guru Samsida Hassan, 67, tidak sangka tawaran yang pernah ditolaknya pada 2022 kerana masalah kesihatan diterimanya kembali tahun ini.
“Tidak tahu nak cakap macam mana, sedih bercampur gembira apabila ingat saya tiada rezeki nak ke Mekah dah, lepas tolak pada dua tahun lalu, tidak sangka tahun ini terima balik tawaran itu,” jelasnya kepada Kosmo!.
Bercerita lanjut, Samsida berkata, pada 2022 lalu dia terpaksa menolak tawaran yang telah dikeluarkan oleh pihak Tabung Haji selepas dijangkiti virus Covid-19 pada 2021 yang menyebabkan tubuhnya menjadi lemah dan cepat lesu.
“Saya sedih sangat ketika itu, terfikir adakah Tuhan tidak benarkan saya ke sana (Mekah). Setiap hari saya berdoa agar saya kembali dijemput kerana saya tidak sempat untuk mengerjakan haji bersama arwah suami.
“Arwah suami meninggal pada 2017, sebelum itu kami masih belum dijemput lagi. Alhamdulillah walaupun berseorangan saya sangat gembira apabila kembali dijemput untuk tahun ini,” jelasnya.
Samsida yang menetap di Kemaman, Terengganu itu berkata, walaupun berseorangan, namun dia percaya dengan rezeki dan keizinan yang telah diberikan ini, dia mampu untuk mengerjakan ibadah haji pada Jun nanti.
“Kursus semua saya sudah lengkapkan sebelum ini, dari segi mental saya sudah bersedia dan saya yakin saya boleh mengatasinya walaupun berseorangan, saya percaya saya akan terima ramai sahabat nanti.
“Tahun lalu saya telah mengerjakan ibadah umrah bersama dua anak perempuan saya, insya-Allah pengalaman itu saya gunakan dan berharap agar kesihatan saya mengizinkan kali ini,” ujarnya.
Di Kuala Langat pula, seorang pesara Angkatan Tentera Malaysia dan isteri tidak menyangka akan menjadi tetamu Allah pada tahun ini.
Sebelum ini surat tawaran yang diberikan TH tahun lalu tidak diterimanya kerana berpindah rumah.
Kata Kamaruzaman Ismail, 68, dan Faridah Rahmat, 63, dia terlepas menerima surat tawaran apabila berpindah rumah dari Taman Seri Putra ke Kanchong Darat.
“Tidak sangka surat itu di alamat lama, bila sedar tawaran itu sudah terlambat,” jelasnya.
Kamaruzaman yang merupakan kontraktor penghawa dingin memberitahu, telah menyimpan wang secara bulanan sejak 10 tahun lalu agar impiannya dan isteri bagi melaksanakan Rukun Islam kelima tercapai.
“Alhamdulillah, rezeki Allah. Memang tidak sangka apabila nama saya dan isteri terpilih sekali lagi selain berasa sebak apabila dimaklumkan Lembaga Tabung Haji semasa membuat kemas kini data baru-baru ini.
“Kalau sudah rezeki dan saya percaya perancangan Allah ada sebaik-baiknya,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Menurutnya, dia dan isteri telah bersedia dengan sentiasa menjaga kesihatan terutama dari segi pemakanan dan fizikal supaya kekal cergas sepanjang menunaikan haji nanti.
Jelasnya, segala persiapan termasuk pakaian telah dilakukannya dan hanya menunggu waktu untuk penerbangan haji nanti.














